Mentarang (Pholas orientalis) merupakan sejenis haiwan moluska yang boleh dimakan, dan dikatakan menggemari air yang bersuhu rendah. Hidupan ini banyak didapati di Perlis dan Selangor yang mempunyai pantai berselut. Hasil laut ini biasanya dikutip semasa air surut.
Berbeza dengan mentarang, etak (Corbiculacea) pula adalah haiwan moluska yang umumnya boleh dijumpai di kawasan sungai air tawar, terutamanya di dasar sungai atau terusan berdekatan sawah padi. Etak pula banyak didapati di Kelantan, Terengganu, dan pantai timur Thailand.
Cengkerang yang berasal daripada industri makanan laut biasanya dibuang tanpa diproses kepada produk-produk yang bernilai tinggi. Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO), produk akuakultur telah meningkat sebanyak 800 peratus dari pertengahan 1950 hingga 2015.
Oleh itu, jumlah hasil buangan juga turut meningkat dan seterusnya memberi impak kepada pencemaran alam sekitar. Tanpa disedari, cengkerang tersebut sebenarnya boleh dijadikan sumber kalsium untuk membentuk biobahan yang dikenali sebagai hidroksiapatit (HA). HA adalah komponen utama tulang manusia, dan banyak digunakan dalam implan bioperubatan dan juga industri kosmetik seperti pencuci muka dan ubat gigi.
Ketika ini pasaran HA dianggarkan bernilai RM9 bilion dan dijangka meningkat kepada RM12 bilion pada 2023.
Penyelidik Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Nashrul Fazli Mohd. Nasir berkata, lazimnya, HA dihasilkan daripada tulang haiwan seperti lembu dan khinzir.
Ini menyebabkan timbul isu tentang status kehalalan produk ini. Namun, jika produk ini menggunakan sumber cengkerang hidupan laut, isu halal ini akan dapat diatasi. Malaysia, sebagai sebuah negara Khatulistiwa adalah sangat kaya dengan hasil laut, terutamanya moluska yang bercengkerang,
“Di negeri Perlis contohnya, mentarang dan etak merupakan dua haiwan moluska yang banyak didapati dan digunakan dalam industri makanan laut.
Cengkerang daripada kedua-dua hidupan ini didapati sangat berpotensi bagi menghasilkan HA.
Ini membuka ruang untuk mempelbagaikan produk daripada mentarang dan etak bukan sahaja sebagai sumber makanan tetapi bahan kejuruteraan bioperubatan,” katanyayang merupakan ketua penyelidikan cengkerang mentarang dan etak tersebut.
Idea asal
Menurut Dr. Nashrul Fazli lagi, idea asal untuk menghasilkan inovasi itu itu berdasarkan keperluan untuk menghasilkan HA berasaskan sumber tempatan yang mudah didapati, terutamanya daripada cengkerang mentarang dan etak yang biasanya dibuang begitu sahaja.
“Dengan menggunakan cengkerang-cengkerang ini sebagai bahan asas untuk kegunaan kejuruteraan bioperubatan dan kosmetik, ia diharapkan dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar akibat pembuangan bahan tersebut, selain pengurangan kos pembuatan HA.
Setakat ini,tiada penyelidikan khusus yang dijalankan untuk menghasilkan HA berasaskan cengkerang mentarang dan etak yang yang banyak didapati di Perlis selain Kelantan dan Terengganu,” katanya yang menganggarkan jumlah cengkerang mentarang dan etak yang dibuang sekitar 20 tan setahun.
Menurut seorang rakan penyelidik dalam kumpulan tersebut, Prof. Madya Dr. Cheng Ee Meng, struktur tulang manusia mempunyai hampir 70 peratus bahan bukan organik di dalamnya.
“Komponen majoriti bahan bukan organik di dalam tulang ini adalah HA. Oleh itu, untuk pembuatan tulang palsu dan juga kosmetik, adalah sangat sesuai dan relevan jika sumber yang digunakan adalah sumber yang boleh
diperbaharui, seperti cengkerang hidupan laut mentarang dan etak. Tambahan pula, sumber ini adalah halal dan boleh digunakan tanpa was was oleh pengguna Muslim.
“Selain itu, bagi kegunaan aplikasi dan penyelidikan kejuruteraan bioperubatan, HA berasaskan cengkerang ini diharapkan lebih bioserasi, jika dibandingkan dengan HA yang dihasilkan daripada sumber bukan organik.
“Menurut ujikaji bahan yang dijalankan di makmal, kualiti HA yang dihasilkan adalah setanding dengan produk komersial di pasaran,” kata Dr. Cheng.
Inovasi
Inovasi hasil penyelidikan tersebut bakal digunakan sebagai bahan asas untuk kejuruteraan bioperubatan, seperti tulang buatan dan implan pergigian, selain industri kosmetik dan penjagaan kesihatan.
Pasukan penyelidikan tersebut telah memfailkan harta intelek untuk proses penghasilan HA daripada cengkerang mentarang dan etak, bagi persediaaan untuk usaha komersialisasi pada masa akan datang.
“Inovasi ini berada pada landasan yang baik untuk penerokaan potensinya pada masa hadapan.
“Projek penyelidikan ini yang dimulakan sejak 2018 telah pun memenangi pingat emas dalam Pameran Inovasi EREKA 2020 anjuran Unimap, dan Pameran Teknologi , Kreativiti dan Inovasi Antarabangsa (I2Create) tahun lalu 2019 yang diadakan di Kuala Lumpur,” kata Dr. Nashrul Fazli.
Kejuruteraan tisu masa depan rawatan penyakit kronik
Pada masa akan datang, dengan kemajuan dalam bidang penyelidikan kejuruteraan tisu, penyelidik mampu menghasilkan organ baharu daripada sel tubuh pesakit itu sendiri, apabila didapati terdapat kerosakan pada organ tersebut,.
Menurut pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri ramalan tersebut adalah berdasarkan kemampuan penyelidik sekarang yang sudah pun mampu menghasilkan tisu yang mempunyai fungsi yang serupa dengan tisu asal, dan dihasilkan daripada sel tubuh pesakit itu sendiri.
“Contohnya, penyelidik kini mampu menghasilkan implan tulang yang boleh membantu proses penyembuhan kecederaan organ tersebut, menggunakan sel daripada tulang pesakit itu sendiri,” katanya.
Penyelidikan ke arah pembinaan tisu dan organ baharu menggunakan sel tubuh pesakit berpunca daripada masalah penolakan dalam proses pemindahan organ.
“Penolakan ini berlaku disebabkan reaksi imunologi tubuh pesakit terhadap organ asing. Kerana itulah, dalam proses pemindahan hati untuk pesakit yang kronik contohnya, penderma mestilah sama ada daripada individu yang mempunyai pertalian darah dengan pesakit, atau hati yang ingin didermakan sudah dipastikan tidak memberi reaksi negatif kepada si penerima,” kata Dr. Nahrizul Adib.
Walau bagaimanapun, cabaran utama dalam bidang penyelidikan kejuruteran tisu adalah pencarian kaedah terbaik bagi meletakkan dan ‘menghidupkan’ sel yang diperlukan dalam bentuk yang tertentu, bagi mendapatkan tisu yang diperlukan.
“Hanya apabila sel membentuk tisu yang dikehendaki, barulah fungsi yang diperlukan akan didapati. Contohnya, selagi sel tulang tidak berkumpul dan ‘hidup’ sebagai tisu tulang yang mempunyai kekuatan dan mampu menampung daya, selagi itulah implan tulang tidak akan membantu dalam proses penyembuhan tulang yang tercedera,” katanya.
Bagi mengatasi masalah tersebyut, penyelidik perlu membina kerangka (scaffold) khusus bagi membolehkan sel tersebut berkumpul di dalam bentuk tertentu, dan seterusnya membina tisu tulang yang dikehendaki.
“Oleh kerana kita memerlukan supaya kerangka ini diresap secara biologi setelah tisu tulang itu siap ‘dibina’, maka menjadi keperluan supaya kerangka ini dihasilkan dari bahan yang mempunyai sifat resapan yang baik
“Sememangnya usaha kumpulan penyelidik Unimap yang menghasilkan kerangka daripada cengkerang berada di landasan yang tepat ke arah kemajuan bidang kejuruteraan tisu di negara ini pada masa akan datang, kerana menggunakan sumber organik yang turut memberi impak positif kepada alam sekitar,” katanya.










