"Susahnya kami dulu sehingga tak pernah pegang duit," - Ibnor Riza - Utusan Malaysia

“Susahnya kami dulu sehingga tak pernah pegang duit,” – Ibnor Riza

Ibnor Riza ketika ditemu bual Mingguan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini. MINGGUAN/ FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Abang dahulu memang orang susah. Susah yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata sehinggakan abang sekeluarga tidak pernah pegang duit. Setiap hasil hutan yang ayah dapat seperti getah, rotan, enau dan damar semuanya ditukarkan dengan barang-barang dapur. Hidup keluarga abang lebih tragis daripada pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana adakalanya kami langsung tidak makan!”
Terpaku seketika mendengar bicara awal yang keluar dari mulut lelaki ini. Seolah tidak percaya dengan apa dituturkan. Kamus silam hidupnya amat pahit untuk ditafsir helaian demi helaian, namun itulah harga yang perlu dibayar sebelum bergelar anak seni
Bersama Mingguan Malaysia empunya nama Ibnor Riza Ibrahim, 59, ini berkongsi kisah silamnya sebelum dia berjaya memahat nama sebagai anak seni. Anak jati kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan ini berkata, dia tidak malu menceritakan asal usul dan menyelak lembaran lalu kerana pengalaman berharga itulah menjadikan dia masih mampu bertapak sehingga kini.
“Abang dahulu sekolah agama di kampung, keluarga memang berharap abang menyambung pengajian di Mesir dan pulang menjadi seorang ustaz. Namun cita-cita abang nak jadi penyanyi, jadi untuk tidak mengecilkan hati keluarga, abang beri alasan cari kerja dahulu di Kuala Lumpur sebelum menyambung pelajaran. Alhamdullillah, keluarga terima alasan abang.
“Datang ke Kuala Lumpur dengan berbekalkan wang RM13 yang diperoleh daripada upah menorah getah di kebun orang. Sebaik sampai di Pudu Raya abang tak tahu ke mana arah nak dituju kerana langsung tiada saudara mara atau kenalan. Akhirnya hanya ikut ke mana kaki melangkah.
“Ketika hari dah beransur gelap, abang berteduh di bawah sebuah kolong di Jalan Kinabalu. Rupanya di situ adalah port budak-budak dadah. Abang cuba jadikan mereka kawan dan tanya jika ada kerja yang boleh dilakukan, lalu mereka ajak abang jaga parking motosikal. Sehari dapatlah RM4 untuk beli makanan,” katanya.
Menurut pelantun naskah Mimpi Yang Tak Sudah ini, dia seringkali berfikir bagaimana untuk membina kerjaya jika hidup tiada arah tuju. Jika selamanya berkeadaan begitu bagaimana dengan cita-citanya mahu menjadi seorang penyanyi? Takkan selamanya tinggal di kolong dan berkawan dengan penagih dadah. Namun nasibnya agak baik dan bertuah apabila terjumpa seorang pemuda yang membuka peluang pekerjaan.
“Abang memulakan kerjaya kedua sebagai pekerja kantin di Asrama Belia di Kompleks Belia Bandaraya Cheras. Waktu itu abang ditawarkan gaji RM50 sebulan termasuk makan minum dan tempat tinggal. Abang beritahu keluarga di kampung, tapi alamat tempat kerja tetap abang rahsiakan.
“Di tempat baharu abang banyak bercampur pekerja kerajaan, sehinggalah ada seorang kenalan di situ memberitahu yang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ada buka jawatan kosong, antaranya jawatan penangkap nyamuk, penjaga lif, pencari fail dan budak pejabat. Yang lawaknya semua jawatan tersebut abang mohon dan kesemuanya pula abang dapat.
“Ikutkan abang nak terima jawatan penangkap nyamuk kerana kerjanya mudah iaitu tangkap nyamuk di kawasan longkang dan bawa ke makmal tapi rakan itu beritahu baik ambil tawaran sebagai budak pejabat kerana lebih terjamin. Dan memang benar, selepas tiga bulan berkhidmat akhirnya abang dinaikkan pangkat sebagai kerani rendah. Lepas itu ambil periksa dan berjaya jadi pegawai kebudayaan pula. Ketika itulah abang mula berjinak-jinak dengan muzik sehingga bakat nyanyian abang dihidu komposer terkenal Adnan Abu Hassan,” ujarnya.
Atas kesungguhannya empat album solo berjaya diterbitkan ketika masih bergelar penjawat awam.
Namun memilih untuk kekal atau melangkah keluar meninggalkan kerjaya sedia ada adalah antara persimpangan yang sukar untuk ditentukan. Akhirnya Ibnor mengambil kata putus dengan melepaskan kerjaya dan cuba memandu hidup menjadi seorang penyanyi.
Tidak menafikan ketika namanya mula dikenali dia mengalami kejutan budaya. Perubahan gaya hidup, cara berpakaian, cara berkomunikasi serta teknik menjadi penghibur yang sempurna di pentas lantas didedahkan. Seketika dia seolah khilaf dengan hidupnya yang dahulu sehinggakan hampir lapan bulan langsung tidak bertanya khabar dan mengirimkan sebarang berita buat keluarga di kampung.
“Waktu itu ada rakan yang beritahu, orang kampung sudah mula mengenali penyanyi Ibnor Riza melalui kaca televisyen. Ada di antara mereka yang perasan dan berkata lelaki tersebut saling tak tumpah seperti Icha anak Haji Ibrahim (nama gelaran di kampung), namun ramai yang menyangkalnya. Fikir mereka mana mungkin lelaki daif yang tiada apa-apa mampu menjadi penyanyi dan mencipta nama di kota besar.
“Bila sudah ada segalanya bermulalah episod baharu dalam kamus hidup. Abang membantu keluarga, mengubah kehidupan menjadi lebih baik dan sempurna berbanding sebelumnya. Ketika sudah mampu beli kereta abang pulang ke kampung untuk bertemu keluarga, Ketika itulah berlakunya perkara yang langsung tidak pernah abang duga.
“Ketika memandu pulang abang terserempak dengan seorang lelaki sedang menunggu bas, lantas abang berhentikan kereta dan pelawa dia naik. Waktu dalam kereta dia tanya abang ini siapa? Lantas abang jawab, “Sayalah Icha anak Haji Ibrahim”. Dia terkejut, terus diam sepanjang jalan sehinggalah sampai ke rumahnya,” katanya sambil merenung jauh.
Menurut Ibnor, dahulunya lelaki itulah ialah salah seorang yang suka menghina dan menuduh dia dan keluarga jika ada getah atau barang-barang yang hilang di kampung. Pengalaman itu amat menyakitkan, namun tiada apa yang mampu dilakukan kerana kehidupan yang dibelenggu kemiskinan. Walaupun ia sudah berlalu, namun ia ibarat luka yang meninggalkan parut.
“Abang pernah ikut ayah masuk ke hutan dan tinggal di sana berbulan lamanya cari enau, rotan dan damar untuk dijual. Semua ini demi untuk mengisi perut kami sekeluarga. Bagi ayah hutan itu adalah lubuk rezeki bagi kami sekeluarga. Seperti abang katakan kami langsung tidak pernah lihat atau pegang duit kerana setiap apa yang ayah jual akan terus ditukarkan dengan makanan dan barang keperluan harian.
“Sebab itu, abang amat mengagumi ayah. Dia adalah hero kami. Walaupun dia tidak mampu sempurnakan hidup kami sekeluarga satu ketika dahulu, namun hari ini dengan berkat doanya, kami adik beradik mampu menebus segala kekurangan itu dan mengubah nasib keluarga yang satu ketika dahulu pernah dipandang hina orang sekeliling,” katanya menutup perbualan. – Khabar Legenda, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.