“SAYA adalah pelawak, bukan pelakon.” Itu penegasan yang dibuat pelawak yang terkenal menerusi sitkom, Pi Mai Pi Mai Tang Tu mengenai dirinya yang sudah 38 tahun bergelar anak seni.
Katanya, tanggapan mengenai pelakon adalah pelawak atau sebaliknya perlu dibetulkan kerana pelawak yang hebat tidak semestinya bergelar pelakon.
“Lawak adalah bakat semula jadi yang terbit dalam diri kita. Pelakon pula mempamerkan sisi berbeza diri mereka ketika seda
ng beraksi di set penggambaran dan di luar waktu kerja.
“Saya dari dulu sampai sekarang banyak fokus kepada sitkom bermula Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang disiarkan di TV3 sehingga Bukan Pi Mai Pi Mai yang diterbitkan Astro Ria sebanyak 26 episod,” katanya memulakan bicara.
Gara-gara tersasul
Pemilik nama sebenar P. Sathivel, 60, yang popular dengan tanda pengenalan ‘Sudah tukar ka?’ Turut berkongsi bagaimana gelaran itu melekat dengan dirinya.
Pada awalnya, beliau hanya menjadi watak undangan sahaja untuk satu peranan kecil menggantikan Accapan dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Akhirnya, beliau dikekalkan apabila watak Ravi diwujudkan.
Impak watak Ravi dalam sitkom arahan Othman Hafsham itu cukup mengesankan apabila kelebihan Sathia berbahasa Melayu dengan baik mengundang tanda pengenalan ‘sudah tukar ka?’ yang membekas dalam ingatan penonton.
“
Ketika penggambaran Pi Mai Pi Mai Tang Tu, saya tersasul sehingga Hafsham jadikan ayat itu sebagai tanda pengenalan melalui sitkom ini. Sedar tidak sedar sudah 38 tahun saya guna tanda pengenalan tersebut.
“Saya memang tidak pandai berlakon dan hanya tahu buat lawak sahaja,” kongsinya.
Sepanjang bergelar anak seni, kongsi Sathia, perwatakan kelakar dan gembira sentiasa melekat di jiwanya. Malah, isteri dan tiga anaknya begitu menyayangi dan berbangga memiliki suami serta bapa sepertinya.
“Saya kalau pergi set atau job sampai sekarang anak atau menantu akan hantar. Selama menjadi suami dan bapa, saya tidak pernah memarahi isteri serta anak. Inilah diri saya yang sebenar, malah sikap yang sama juga dibawa ke set penggambaran,” katanya.
Latihan demi latihan
Mengimbas kenangan ketika di set Pi Mai Pi Mai Tang Tu di Kota Kemuning, Shah Alam, Sathia berkata, setiap pelakon perlu menjalani latihan secara kerap sebelum menjayakan sesebuah episod.
Jelasnya, tanpa latihan mencukupi sebuah episod tidak akan melekat dalam kepala penonton.
“Dahulu, pengarah akan suruh kami menjalani latihan selama 12 hari sebelum rakaman sesuatu episod bermula.
“Pi Mai Pi Mai Tang Tu adalah sebuah ‘teater’ yang dipentaskan di kaca televisyen. Saya masih ingat keletah Mat Deris (Ahmad Busu), Pak Busu (Mohamad Abdullah), Budin (Imuda), Wan Ismail Golok (Sabri Yunus), Mat Over (Sulaiman Yassin), Mak Ngah (Khatijah Tan) dan Lucy (Angeline Tan).
“Kami ibarat seperti satu keluarga. Sampai sekarang saya panggil Khatijah Tan sebagai Mak Ngah,” kongsinya.
Sathia bakal mendapat Anugerah Pelawak Terbaik di Malaysia dalam sebuah majlis yang dianjurkan oleh sebuah universiti dari Amerika Syarikat di ibu negara, bulan depan.
Kongsinya, pengiktirafan tersebut menandakan lawaknya masih sebati dengan masyarakat Malaysia sehingga ‘diintai’ orang luar.
Sehingga kini, sebanyak 25 anugerah sudah diraih, termasuk Artis Bukan Melayu Popular 1998/1999, Anugerah Bintang Popular anjuran sebuah akhbar tempatan serta Anugerah Tokoh Lawak.
Tak perlu media sosial nak popular
Sathia dengan selamba memberitahu, dirinya tidak memerlukan lensa media sosial untuk kekal mendapat tawaran.
Katanya, dia masih menerima tawaran berlakon, termasuk pementasan teater. Bukan mahu mendabik dada, apatah lagi membangga diri, namun Sathia laris menerima undangan mengadakan persembahan, selain menjayakan drama dan telefilem di televisyen.

Mengulas soal bayaran pada artis veteran, katanya dia bersyukur tidak pernah mengalami masalah bayaran tidak setimpal.“Pernah juga tidak dibayar dahulu, tetapi sekarang saya berlakon dengan bayaran sangat baik,” kongsinya.
SAMBUTAN DEEPAVALI
Perayaan Deepavali yang akan diraikan esok bagi Sathia, disambut secara sederhana kerana dia sekeluarga hanya meraikan di Kuala Lumpur.
Katanya, sudah menjadi tradisi membeli baju baharu setiap kali menyambut Pesta Cahaya yang memberi seribu satu makna buat mereka.
“Kami akan sediakan muruku, beli baju baharu dan berkumpul sesama ahli keluarga. Itu sudah menjadi tradisi. Saya memang tiada kampung dan beraya di ibu kota setiap tahun,” katanya. – PANCAINDERA










