‘Pelakon dulu pandai mengaji, berzanji’ - Utusan Malaysia

‘Pelakon dulu pandai mengaji, berzanji’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK terasa perjalanan sejauh 131 kilometer (km), dari ibu kota ke Gemas, Negeri Sembilan kerana kedatangan penulis disambut dengan penuh mesra oleh pelakon legenda, Ruminah Sidek.
Ruminah, 76, yang mesra disapa Mak Mah itu kini menetap di Felda Jelai 4, Gemas sejak mendirikan rumah tangga dengan seorang peneroka, Al Fatah Rahim Ismail, 78, tujuh tahun lalu.
Ketika tiba, Ruminah lengkap bertelekung menunggu masuk waktu Zuhur. Selesai solat, kami memulakan perbualan. Ruminah menceritakan tentang ketenangan yang dimilikinya selepas tinggal bersama komuniti peneroka di felda berkenaan.
“Syukur Alhamdulillah, saya ada ramai kawan di sini. Baik yang muda sampai yang berusia, semuanya sudi berkawan dengan saya. Rumah pula jadi tumpuan, malah saya sentiasa disapa penduduk yang lalu-lalang di jalan hadapan.
“Penduduk di sini prihatin, ada yang tegur suami sebab benarkan saya keluar menoreh (getah). Kata mereka, usia macam kami ini tidak boleh buat kerja berat, lebih elok duduk di rumah dan berehat.
“Saya memang ada asas menoreh kerana waktu muda pernah buat kerja itu di Klang, Selangor. Masa awal-awal tinggal di Jelai, kalau cuaca mengizinkan, hampir setiap hari saya keluar menoreh menemani suami. Tetapi sekarang, sudah ada orang muda yang gantikan tempat kami,” kongsinya.
Meneruskan cerita, Ruminah memaklumkan, dia tidak janggal tinggal di Felda kerana pernah berpengalaman menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia untuk menghiburkan penduduk di luar bandar.
“Sekitar tahun 1970-an, saya pernah turun ke setiap kawasan Felda menerusi program jelajah pentas bergerak untuk menghiburkan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut.
“Waktu pagi, penduduk keluar menoreh, manakala malam pula diberi hiburan dengan persembahan nyanyian, tarian dan banyak lagi. Saya diambil bekerja dengan Felda secara kontrak dan mendapat gaji bulanan.“Ketika itu, bekas suami, arwah A.R Tompel baru meninggal dunia. Anak saya, Adlin Aman Ramli masih bertatih dan saya baru berpeluang untuk kembali bekerja.
“Felda ambil kerana latar belakang saya sebagai pelakon filem dan pernah menyertai Pentarama, selain pandai menyanyi serta menari,” ujarnya.
Perbualan seterusnya beralih tentang pembabitan awal Ruminah dalam dunia seni. Kata pelakon ini, minat dalam bidang berkenaan sudah bertunas sejak kecil lagi.
“Saya aktif menyertai apa sahaja pertandingan yang dianjurkan, termasuk pakaian tercantik, syarahan dan banyak lagi sejak menuntut di Sekolah Kebangsaan Tok Muda Kapar, Klang.
“Saya pernah mewakili sekolah dalam pertandingan deklamasi sajak, bacaan puisi dan bahas peringkat Selangor.
“Saya bekerja dalam bidang seni sebelum negara mengecapi kemerdekaan lagi. Orang kenal kerana saya aktif menyertai pertandingan nyanyian lagu asli. Saya tidak pernah ragu-ragu menceburi bidang ini kerana emak dan ayah nampak potensi saya dalam bidang tersebut.
“Saya bukan seorang yang pemalu malah sejak usia 12 tahun lagi, saya sudah menunjukkan minat dalam dunia seni,” ceritanya.

Dibayar RM4

Pada usia yang cukup muda, Ruminah melatih diri untuk menjana pendapatan sendiri dengan menyanyi dan menari di majlis perkahwinan. Katanya, bayaran diterimanya pada zaman itu boleh dikatakan mencukupi.
“Saya menyanyi sejak usia 11 tahun. Dengan bayaran serendah RM4, saya menyanyi di majlis perkahwinan dengan iringan pasukan pancaragam polis.
“Pandangan orang dahulu terhadap dunia seni sangat berbeza. Langsung tidak pandang serong. Kalau ada majlis perkahwinan, ayah akan suruh saya menari tradisional di hadapan pengantin,” kongsinya.
Meskipun aktif sebagai penggiat seni, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam. Katanya, hal tersebut menjadi perkara penting yang disemai ibu bapa dalam diri anak-anak mereka.“Pemuda zaman dulu ada kebolehan seni, pandai menulis, mengalunkan qasidah dan bersilat. Ayah saya, Sidek Hasan ada kebolehan tersebut. Walaupun perempuan, saya tetap diajar bersilat dan berqasidah. Saya boleh membaca al-Quran dan bertarannum.
“Ayah amat menekankan soal agama kepada anak-anaknya. Solat dan zikir itu ibarat kerja kita sehari-hari, wajib buat. Pelakon zaman dahulu ramai yang jaga solat dan pandai baca al-Quran.
“Boleh dikatakan, antara perkara wajib pelakon kena ada adalah kemahiran membaca al-Quran, berzanji, berqasidah, bersilat dan menari. Cantik atau tidak bukan keutamaan. Saya ingat lagi, ayah tidak bebaskan saya masuk bidang seni selagi tidak menjaga tuntutan agama,” tambahnya.

Disiplin kerja dan kehormatan diri

Kata Ruminah, meskipun ayahnya amat menekankan soal agama, dia tidak  pernah menghalang anak-anaknya menceburkan diri dalam bidang seni. Bagaimanapun, sebagai seorang polis, ayahnya amat menitikberatkan soal disiplin kerja dan penjagaan diri.
“Ayah tidak pernah persoalkan pekerjaan saya, sebaliknya dia sangat kritikal terhadap disiplin kerja. Dia sangat mementingkan perkara itu. Lebih-lebih lagi soal disiplin dalam penampilan.
“Dia pernah menolak tawaran menyanyi hanya kerana berasakan saya tidak bersedia dari segi berpakaian. Bila jadi pelakon, baru saya sedar, perkara seperti itulah yang membentuk akhlak kita.
“Saya percaya, kalau cara berpakaian kita kemas dan sedap dipandang, mesti perbuatan dan percakapan kita juga begitu,” ceritanya.
Ditanya bagaimana dia menjaga kecantikan dan kesihatannya, Ruminah memaklumkan, dia banyak mengamalkan apa yang dipesan kedua-dua orang tuanya iaitu menjaga kecantikan seiring perwatakan.
“Ketika muda, lumrah perempuan mahu sentiasa kelihatan cantik. Dalam saya menjaga aspek tersebut, saya tidak tinggal pesan ibu, jaga adab dan kehormatan.
“Ayah tidak suka kalau anak perempuannya tidak jaga perangai. Pesan ayah, kalau keluar rumah, pakai jam tangan dan kaca mata hitam. Itu benda asas yang dia akan ingatkan.
“Bukan sekadar bergaya, tetapi juga menjaga kesihatan mata. Sinar matahari membahayakan penglihatan. Benar pesan ayah, sebab sampai sekarang saya m

asih boleh melihat dengan baik tanpa bantuan kaca mata,” ceritanya.

Pengalaman bersama P. Ramlee

Menggamit kenangan ketika bekerja di bawah arahan seniman legenda, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Ruminah mengakui, momen itu tidak dapat dilupakan.
Katanya, karakter P. Ramlee sama seperti apa yang disaksikan dalam filem lakonannya. Arwah periang, berjiwa besar dan suka menghiburkan.
“Orangnya sangat mementingkan disiplin kerja. Karakternya bagus dan dia sangat menghormati orang lain. Agaknya, memang Allah pilih dia untuk perkara kebaikan.
“Dia menjaga solat dan selalu menolong orang. Dia bukan seorang yang bangga diri dan tidak bercakap perkara sia-sia. Mungkin ramai tidak tahu, dia juga ada kebolehan mengubat orang.
“Pelakon dahulu, sampai sahaja di set penggambaran, orang pertama yang kami cari adalah pengarah. Kalau bekerja dengan P. Ramlee, beliau orang pertama yang saya cari. Bagi salam dan ucapkan selamat pagi,” katanya.

Penangan watak seram

Bertanyakan pandangan terhadap watak seram yang sering ditawarkan kepadanya, seniwati itu berkata, dia menerima sebagai rezeki yang ditentukan Allah.
“Memang banyak tawaran watak seram yang saya terima. Terlalu kerap sampaikan ada pengarah dan penerbit keberatan memaklumkan, mereka mahukan saya bawa watak seperti itu.
“Saya tidak kisah sebab sedia melakonkan apa sahaja watak. Saya rasa orang percaya saya boleh hidupkan watak seperti itu.
“Saya ingat lagi impak yang saya terima ketika melakonkan watak Opah dalam filem Jangan Pandang Belakang. Terlalu besar kesannya sehingga filem itu pecah panggung,” kongsinya. – Pancaindera

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya