Flop Poppy terus bernyawa - Utusan Malaysia

Flop Poppy terus bernyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Orang tanya mana pergi Flop Poppy? Saya kata band ini tidak pernah hilang, malah kami masih aktif”.
Itu penjelasan Andy ketika dihubungi, baru-baru ini. Dia terkejut, memikirkan ada yang beranggapan kumpulan itu sudah terkubur, sedangkan Flop Poppy masih bernyawa.
Flop Poppy kini berusia 33 tahun. Band ini pada awalnya menapak dalam arena muzik indie lebih tiga dekad lalu sebelum menembusi arena arus perdana.
Ketika itu, Flop Poppy dianggotai empat anak muda iaitu Radhi sebagai vokal, Andy (gitar), Syed (gitar kedua) dan Vijay (bass).
“Kami lakukan semua sendiri, buat lagu, tulis lirik dan menjayakan persembahan dalam gig kecil.
“Nak kata struggle, tidak juga sebab memang dari awal band ini bergerak sendiri dan sekarang juga begitu,” kata Andy.
Cerita Andy, pada awalnya, dia hanya mahu bermain muzik, membuat lagu untuk Flop Poppy dan menyerahkan peranan vokalis kepada Radhi yang akhirnya bersama OAG.
“Bila nak keluarkan album, Radhi sudah tidak bersama Flop Poppy. Kebetulan, lagu demo pula saya nyanyikan.
“Jadi, kami buat uji bakat untuk mencari penyanyi. Tapi, kami tidak jumpa vokalis yang bersesuaian kerana kebanyakan mereka cuba menyanyi seperti penyanyi lain.
“Saya pula pemalu dan tidak suka berada di depan. Tetapi, ahli kumpulan lain mencadangkan saya supaya mengambil peranan vokalis. Mahu atau tidak, saya kena menyanyi,” katanya lagi.

Sambutan luar biasa

Andy turut menceritakan pengalaman berdepan perubahan hidup sekelip mata selepas lagu Cinta popular.

“Kami berkarya tanpa menjangkakan lagu kami akan popular. Apabila Cinta diterima baik pendengar, hidup kami berubah.
“Saya pulang ke tanah air dari Indonesia dalam keadaan keliru, selain disarankan tidak kerap muncul di tempat awam kerana Cinta sangat popular.
“Ketika itu, Flop Poppy mengalami transformasi mengejut, dari dunia indie ke arus perdana” kongsinya.
Berkongsi lanjut, Andy menceritakan pengalaman diserbu peminat yang ketika itu, belum kenal siapa Flop Poppy.
“Saya tidak lupa, saat diserbu peminat ketika kami hadir ke pelancaran wajah baru sebuah majalah di Mid Valley. Ketika itu, band Indonesia, Sheila On 7 juga ada.
“Kami sangkakan peminat datang semata-mata kerana Sheila On 7. Tapi, sangkaan kami silap kerana mereka juga datang untuk memberikan sokongan kepada Flop Poppy.
“Ketika itu, ramai yang meminati Cinta, tetapi tidak kenal siapa Flop Poppy,” katanya.

Ibarat adik-beradik

Tidak mudah bagi sesebuah band mengekalkan hubungan baik dalam kalangan ahlinya. Akui Andy, perkara itu memang sukar.
“Anggota Flop Poppy keluar masuk, tetapi kami kekal bersahabat. Kami tidak pernah menganggap diri kami sebagai anggota kumpulan, sebaliknya umpama adik-beradik.
“Matlamat Flop Poppy cuma mahu menghasilkan lagu yang bagus dan terus bermain muzik. Kami tidak mahukan populariti,” ujarnya.

Hargai peminat

Bagi mengubati rindu peminat, Flop Poppy akan mengadakan Konsert Jelajah Masih Tour di Dewan Perdana Suria Ampang, penghujung bulan ini. Menariknya, tiket dijual dengan harga berpatutan serendah RM80 hingga RM200.
Kata Andy, konsert itu dianjurkan sendiri Flop Poppy tanpa perlu menjual tiket dengan harga cekik darah.
“Lebih elok anjur sendiri, kami boleh kawal harga (tiket). Kami tidak perlu melibatkan syarikat besar untuk menganjurkan konsert ini, sebaliknya mengggunakan sahaja tenaga kerja yang ada.
“Apa yang penting adalah kualiti persembahan, sistem bunyi yang baik dan sambutan peminat,” katanya.
Jelas Andy, acara yang turut mengundang kumpulan OAG dan Bunkface itu dilaksanakan untuk menghargai peminat.
“Kami miliki hampir 20 lagu hits yang masih diputarkan di radio. Jadi, Flop Poppy hanya ingin membawa nostalgia bersama peminat setiap kali kami membuat persembahan.
“Peminat hampir semuanya mahu kami menyanyikan lagu hits. Itu yang kami janjikan pada konsert ini nanti” katanya. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.