Raja Charles perkenan Andy Burnham sebagai PM baharu Britain - Utusan Malaysia

Raja Charles perkenan Andy Burnham sebagai PM baharu Britain

RAJA Charles III (kanan) bersama Andy Burnham. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Raja Britain, Raja Charles III pada Isnin melantik Andy Burnham sebagai perdana menteri selepas Keir Starmer secara rasmi mengemukakan peletakan jawatannya, menurut kenyataan Istana Buckingham.

“Ahli Parlimen Andrew Burnham menerima tawaran Raja dan menjalani istiadat penerimaan pelantikan sebagai perdana menteri,” kata Istana Buckingham dalam satu kenyataan.

Ia menambah bahawa Raja Charles turut meminta beliau membentuk kerajaan baharu.

Burnham merupakan perdana menteri Britain yang ketujuh dalam tempoh sedekad.

Beliau berdepan pelbagai cabaran besar yang turut menggugat pentadbiran beberapa pendahulunya.

Burnham mengambil alih jawatan daripada Starmer yang tidak lagi popular, hanya dua tahun selepas beliau membawa parti Buruh kembali memerintah pada 2024 menerusi kemenangan besar dalam pilihan raya, sekali gus menamatkan 14 tahun pemerintahan parti Konservatif.

Beliau yang juga bekas Datuk Bandar Greater Manchester yang digelar ‘Raja Utara’ dipilih menjadi ketua parti Parti Buruh selepas Starmer meletak jawatan bulan lalu.

Ahli- ahli Parlimen parti melihat beliau sebagai calon terbaik untuk mengekang pengaruh parti Reform UK yang dipimpin Nigel Farage dan berpendirian antiimigran.

Burnham pernah menjadi ahli Parlimen dari 2001 hingga 2017 dan menyandang beberapa jawatan menteri di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tony Blair dan Gordon Brown.

Beliau baru kembali sebagai anggota Parlimen hanya empat minggu lalu selepas memenangi pilihan raya kecil di Makerfield dengan memperoleh 54.8 peratus undi, sekali gus meraih majoriti lebih 9,000 undi mengatasi calon Reform UK, Robert Kenyon.

Pilihan raya itu diadakan selepas bekas ahli parlimen Parti Buruh, Josh Simons, meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Burnham untuk kembali menjadi anggota Dewan Rakyat. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN