Doktor tanya, nak terus menyanyi atau bisu seumur hidup? - Utusan Malaysia

Doktor tanya, nak terus menyanyi atau bisu seumur hidup?

Joey - Mingguan/Amir Khalid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGKAJI susur galur kebangkitan muzik rock di Malaysia pastinya kita akan tertarik dengan sejarah awal kumpulan-kumpulan ‘otai’ yang menjadi pelopor. Boleh dikatakan hampir kebanyakannya masih aktif, namun jarang mendapat perhatian dan publisiti dalam media massa.

Bumiputra Rockers (BPR), adalah antaranya. Kumpulan yang ditubuhkan di Johor Bahru pada awal 80-an ini bukan sahaja antara pencetus awal kebangkitan muzik rock kapak, malah turut digilai peminat satu ketika dahulu dengan sajian lagu-lagu ‘berhantu’ mereka.

Di awalnya sebelum kemunculan Battle of The Bands pada penghujung 80-an, BPR terlebih dahulu mengorak langkah menjelajah negara mengiringi persembahan Raja Rock, Datuk Ramli Sarip.

Pengalaman berharga selama tiga tahun itu menjadikan kumpulan ini semakin matang, malah tidak pernah dilabelkan sebagai kumpulan ‘jual muka’ ketika itu.

Mingguan Malaysia berpeluang bertemu dengan vokalis utamanya, Johari Mat Rozekhi atau Joey,57 yang berkongsi cerita mengenai zaman kegemilangan serta perkembangan terkini kumpulan yang pernah popular dengan lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin ini.

“Sebenarnya seawal darjah satu lagi aku ini memang dah minat muzik. Aku terlibat dengan koir sekolah dan mula belajar main saksofon, Awang yang juga sama bersekolah dengan aku pula banyak habiskan masa belajar main gitar. Kalau tak silap aku waktu itu dalam tahun 1976 hingga 1980.

“Sebabkan minat main muzik, jadi kami tubuhkan sebuah kumpulan yang dinamakan ‘Pokai Donation’. Sebab apa letak nama itu? Sebab waktu itu kami memang pokai. Nak buat apa pun kena tong-tong (kongsi-kongsi). Nak jamming RM7 satu jam pun kena kasi seorang seringgit.

“Akhirnya tauke jamming itu lihat bakat kami. Dia minta kami praktis secara serius dan tubuhkan satu band yang dikenali sebagai ‘Titanic’. Lama juga aku dengan band ini rasanya hampir empat tahun juga, yang bestnya kos jamming semua dia sponsor.” katanya.

Namun menurut Joey, jodohnya bersama kumpulan Titanic tidak panjang kerana ‘ditarik’ masuk menganggotai kumpulan Split Time, lantas tempatnya diganti oleh Amy Search. Kebangkitan muzik rock ketika itu juga mengubah senario muzik tanah air.

Seawal tahun 82, Joey dan rakan-rakan sudah mula merakam album rock berbahasa Melayu, walaupun dilihat agak asing oleh peminat yang ketika itu lebih terdedah kepada muzik pop, namun demi minat mereka teruskan juga hingga berjaya menerbitkan dua album dalam masa dua tahun.

“Pada mulanya memang ramai tidak dapat menerima muzik rock ini, maklumlah bunyi gitar yang bising serta muzik bingit. Waktu itu kalau berjalan ke mana-mana mesti ada yang jeling dan jauhkan diri, manakan tidak rambut panjang mengerbang macam hantu, seluar ketat, pakai singlet dan anting-anting pula, sampaikan ada yang anggap kami ini band orang tak siuman.

“Kalau berselisih dengan makcik atau pakcik yang bawa anak dara mesti dia orang akan tarik anak mereka jauh-jauh sebab ketika itu mat-mat rock ini memang dilabelkan sebagai penagih dadah. Tak sanggup mereka nak dapat menantu macam kami ini,” katanya sambil tertawa.

Ibarat bulan jatuh ke riba apabila kumpulannya ketika itu dilamar oleh Ramli Sarip untuk mengiringnya setiap kali dia mengadakan pertunjukan pentas.

Hampir tiga tahun juga Joey dan rakan-rakannya ‘bergurukan’ Ramli Sarip sehinggakan kumpulannya sudah tidak lagi kekok beraksi di pentas dan berhadapan penonton.

Menurutnya nama Bumiputra Rockers juga adalah ilham Ramli Sarip yang selalu memperkenalkan mereka kepada penonton sebelum memulakan persembahan.

Impian BPR untuk mengeluarkan album sendiri termakbul apabila Life Records melamarnya dan naskhah ‘Selamat Pagi Malaysia’ mula digilai peminat. Ketika itu sambutan cukup menggalakkan, walaupun ada antara lagunya yang digam RTM.

“Waktu keluar album itu kami sendiri pun tak tahu yang kami dah bergelar artis rupanya. Jujurnya waktu itu kami tak pernah fikir pasal duit show atau duit royalti, yang kami tahu hanya enjoy main muzik keliling tanah air. Waktu itu rasa hebat bro, sebab dapat naik stage, pegang mic, pegang gitar elektrik ke hulu ke hilir.

“Bila plan nak buat album kedua, mulalah terfikir nak buat lagu sendiri, kononnya nak nampak kreatif. Aku buat sampai 60 lagu, tup-tup label reject semua lagu aku sebab dia orang kata lagu tu semua tak sedap,” katanya sambil ketawa.

BPR berjaya membuktikan kepada peminat bahawa irama rock yang dibawa mereka bukannya picisan atau penumpang dalam industri.

Buktinya setiap album yang dikeluarkan mampu mencatat jualan tertinggi, malah lagu-lagunya juga berjaya mengungguli carta radio dan mara ke peringkat akhir Juara lagu Ketika itu.
Lagu Dari Sinar Mata, Seribu Tahun Takkan Mungkin, Silaturrahim, Aku Hanya Serangga adalah antara lagu ‘berhantu’ yang digilai peminat ketika itu.

Menurut Joey tawaran pentas diterima hampir saban hari sehinggakan ketika itu dia langsung tidak pernah ambil berat soal kesihatan.

“Percaya atau tidak, ketika era kegemilangan BPR, saya tiba-tiba hilang suara dan tidak boleh menyanyi. Doktor nasihatkan untuk membuat pembedahan dan jika berjaya dia syorkan saya tidak menyanyi lagi. Dia berikan saya kata dua sama ada berhenti menyanyi atau boleh bisu selama-lamanya.

“Waktu itu saya memang tidak mampu berbual, sehinggakan rakan-rakan yang melawat terpaksa menulis setiap apa yang ingin ditanya.

“Sebelum mulakan pembedahan saya kena tandatangan satu surat dulu, iaitu jika pembedahan ini tidak berjaya, saya tidak dibenarkan mengambil tindakan undang-undang ke atas doktor itu.

Dia juga beritahu andai pembedahan ini berjaya, tetapi berulang untuk kali kedua pada masa akan datang, tiada jaminan untuk sembuh.

“Alhamdullillah pembedahan berjaya, namun hampir 10 tahun juga saya terpaksa berehat dan tinggalkan bidang seni. Waktu itu terfikir, jika rezeki saya menjadi penyanyi terhenti di situ saya akur, daripada terpaksa ambil risiko menjadi bisu selamanya,” katanya

Menurutnya lagi, ramai rakan artis yang senasib dengannya. Mereka menghilangkan diri dan berehat bukan kerana sudah ‘tidak laku’, namun majoritinya mempunyai masalah kesihatan terutamanya melibatkan suara.

Aktif menyanyi

Mengakui masih aktif menyanyi, namun kesihatan tetap menjadi keutamaan. Bila di pentas teknik muzik juga sedikit diubah, malah lontaran suara juga perlu dijaga agar kejadian lama tidak berulang. Semua ini menjadi pengajaran penting buat dirinya.

“Dahulu lain, naik pentas terus menjerit, ‘tarik suara’ macam orang gila. Selagi mampu ‘tarik’ sampai keluar anak tekak itu dah confirm dicop sebagai rockers hebat. Tapi sebenarnya semua itu silap. Rock bukan begitu. Paling penting penyampaian kita diterima peminat dan lagu-lagu mampu melekat di jiwa. Itu sudah memadai.

“Menjadi penyanyi yang dikenali juga satu rahmat sebenarnya. Banyak keistimewaan yang tidak kita sedar. Contohnya, bila saya pergi ke pusat beli-belah, berkunjung ke pasar malam dan sebagainya, ramai yang beri diskaun dan percuma untuk saya.

“Saya tanya kenapa tak nak ambil duit? Mereka cakap mereka peminat saya. Saya cukup berterima kasih kepada peminat yang masih menghargai dan meminati lagu-lagu BPR. Memang tanpa peminat siapalah kami ini.

“Sekarang ini saya dalam fasa menyiapkan album terbaru mengandungi 10 lagu. Album ini adalah hutang yang perlu dilangsaikan dengan Life Records. Sebelum ini kami ada berhutang satu lagi album jadi kami kena tunaikan. Duit pun semua mereka dah beri. Insya-Allah jika semua perancangan berjalan lancar, mungkin kami boleh keluarkan pada hujung tahun ini,” katanya mengakhiri perbualan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya