Ringgit diunjur mengukuh pada RM4.38 tahun ini

Ringgit diunjur mengukuh pada RM4.38 tahun ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIDF Research mengunjurkan nilai ringgit akan lebih mengukuh pada tahun ini pada RM4.38 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Firma penyelidikan itu mengunjurkan ringgit 2024 akan berapa pada purata lebih rendah iaitu RM4.38 berbanding dolar AS (purata 2023:RM4.56), dan mencecah RM4.20 menjelang akhir tahun (akhir 2023: RM4.59).

Katanya, ringgit berada dalam kedudukan baik didorong oleh ekonomi domestik terus berkembang dengan  momentum memberangsangkan, harga komoditi global yang menyokong, lebihan perdagangan mampan dan kemungkinan pemotongan kadar bank pusat pada 2024. 

“Paling penting, Rizab Perekutuan AS (Fed AS) dan bank pusat utama lain telah selesai dengan kenaikan kadar faedah mereka dan kemungkinan besar beralih kepada pemotongan kadar pada tahun 2024,” katanya dalam nota penyelidikan.

Firma itu menambah, bagaimanapun, prestasi ringgit  dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti pembayaran, aliran dana asing, perdagangan luar negeri, dasar pertukaran asing dan harga komoditi.

“Daripada analisis kami, kami boleh menjangkakan bahawa prestasi mata wang dipengaruhi oleh pelbagai faktor seiring memburukkan lagi pergerakan ringgit dan dolar AS pada titik berbeza antara satu sama lain sehingga menyederhanakan pergerakan ringgit,” ujarnya.

MIDF Research berkata, sukar untuk menentukan tahap pengaruh setiap faktor kerana ia bergantung kepada keadaan semasa sama ada luaran atau domestik.

Firma itu turut memperkenalkan Indeks Ringgit Berwajaran Dagangan (MIDF TWRI) diperoleh daripada perdagangan ringgit-prestasi FX wajaran berbanding mata wang 16 rakan dagangan terbesar Malaysia. 

“MIDF TWRI menunjukkan bahawa menjadikan dolar AS sebagai ukuran tunggal prestasi ringgit tidak akan menjadi gambaran lengkap prestasi ringgit berbanding keseluruhan makroekonomi Malaysia,” katanya.

Firma itu berkata, MIDF TWRI boleh menjadi ukuran yang lebih baik untuk pergerakan ringgit. 

“Indeks itu membolehkan menangkap kesan pergerakan ringgit perdagangan dengan indeks diselaraskan mengikut perdagangan Malaysia dengan negara lain,” katanya.

Mengulas jangkaan ringgit minggu ini, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata,  kedudukan ringgit dijangka bergerak dalam julat RM4.70 ke RM4.78 berbanding dengan dollar AS.

“Ia berikutan tiada petunjuk baharu yang diperoleh dan kenyataan terbaru oleh Gabenor Federal Reserve AS, Waller, bahawa mereka tidak perlu terburu-buru menurunkan kadar faedah semasanya iaitu 5.25 peratus hingga 5.5 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, ia jelas akan menguatkan kembali mata wang dollar AS berdasarkan data terbaharu menunjukkan kadar pengangguran AS yang menurun adalah lebih baik dari jangkaan awal. 

“Manakala, laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS untuk suku keempat 2023 lebih tinggi pada 3.2 peratus, diterajui pertumbuhan segmen pengguna yang tinggi iaitu 3.3 peratus, lebih tinggi dari jangkaan awal 3.0 peratus,” katanya.

Aimi menambah, jualan segmen perumahan turut meningkat 1.6 peratus dan melebihi jangkaan awal iaitu 1.5 peratus. 

Ujarnya, Gabenor, Christopher J. Waller mengatakan tidak wajar untuk mengurangkan kadar faedah semasa dan lebih baik ditangguhkan dahulu di masa hadapan. 

“Peningkatan positif keluaran ekonomi dan pasaran buruh menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang baik manakala kadar inflasi pula tidak berkurangan bagi mencapai sasaran 2.0 peratus.

“Indeks DXY pula kembali meununjukkan prestasi kekuatan dollar AS kepada 104.5 mata, iaitu kenaikan dari 102 mata dalam tempoh 2 hari. Kesannya dollar AS terus menguat keatas semua matawang dunia iaitu pound sterling, yen termasuklah ringgit,” katanya.

Beliau berkata, Bursa Malaysia dijangka bergerak seiring dengan bursa-bursa utama dunia yang lain, seperti New York, London, Tokyo, HongKong yang berada di  zon positif. 

“Index Bursa dijangka bergerak disekitar julat 1520 ke 1550 mata minggu ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN