ROYAL ENFIELD INTERCEPTOR 650

ROYAL ENFIELD INTERCEPTOR 650 – GAYA RETRO TETAP DIUNGGULI

ROYAL Enfield Interceptor 650
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika dalam tempoh 5 tahun dahulu, penggunaan motosikal-motosikal Retro ini lebih tertumpu kepada pengguna atau pemilik yang mungkin sudah berumur atau warga emas, namun sejak akhir-akhir ini, kemunculan pengguna atau pemilik muda yang rata-rata daripada awal hingga pertengahan 20an sudah mula menggayakan motosikal-motosikal retro di atas jalan raya tempatan.

Terdapat perkara utama yang boleh dikatakan sebagai penghalang utama untuk peminat-peminat model seumpamanya mendapatkan seunit untuk diri sendiri, iaitu harga jualan. Bagi para peminat motosikal Retro ini, jenama pilihan selalunya tertumpu kepada jenama-jenama dari UK, Itali atau mungkin dari Amerika. Namun, model-model ini didatangkan dengan cukai import yang tinggi selain harga seunitnya yang agak mustahil untuk dimiliki oleh kebanyakan pemuda yang rata-rata kurang dari 10 tahun pengalaman bekerja atau menyara hidup dengan sendiri.

Akibat daripada itu, para penjual motosikal mula mengimport motosikal-motosikal berkonsep retro dari China yang mempunyai harga agak murah dan mampu milik. Cuma…. yang menjadi tanda tanya adakah motor dari China tahan atau tidak dengan cara penggunaan, cuaca dan geografi tanah air kita?

Oleh itu, satu alternatif lain yang boleh dikatakan dapat menepati permintaan peminat-peminat daripada golongan ini ialah motosikal jenama Royal Enfield. Model ini dikatakan lebih kemas pembuatannya, lasak enjinnya, serta yang paling utama, harga pasaran adalah mampu milik.

Ramai yang menganggap Royal Enfield ini adalah motosikal yang asal-usulnya dari India, namun ia sebenarnya ‘dilahirkan’ di England. Bermula dengan produksi basikal seawal 1891 dan mula menghasilkan motosikal pertama mereka sekitar 1901. Hanya sekitar 1949, pengimportan motosikal Royal Enfield ke India oleh syarikat bernama Madras Motors, mula dilakukan bersama motosikal jenama-jenama lain dari Britain. Maka seperti lipatan sejarah, Royal Enfield mula menjadi ‘milik’ India sekitar 1955 sehinggalah kini.

Walaupun kita telah membuat rebiu beberapa model Royal Enfield sebelum ini, namun model INTERCEPTOR ini saya rasakan adalah salah satu model ikonik mereka selain model Bullet dan Continental GT. Oleh itu, adalah wajar kita menguji pandu model ikonik ini yang masih lagi mengekalkan nama yang sama serta ciri-ciri yang hampir serupa sejak kewujudannya sekitar tahun 60an .

 

REKA BENTUK 

Rekaannya seolah-olah rekaan asal sebuah motosikal moden. Rupa bentuknya serupa dengan motosikal-motosikal sezaman dengannya, malah, dari negara matahari terbit juga menampilkan rekaan yang sama biarpun berjenama Yamaha, Honda, Suzuki ataupun Kawasaki.

Tangki bahan api yang besar, pelana yang panjang serta leper, lampu hadapan berbentuk bulat, serta ekzos yang berbentuk seperti meriam buluh menjadi kemestian dalam setiap model. Sukar untuk mengatakan siapakah yang mula-mula menghasilkan motosikal rekaan sedemikian.

Tahun 2023 menyaksikan INTERCEPTOR 650 ini masih mengekalkan imej tersebut dengan sangat sedikit sentuhan moden. Terdapat satu barisan skrin LCD pada meter analog berkembar, sistem brek menggunakan cakera dan ABS, dan penggunaan roda sport pada sesetengah model disamping masih ada yang mengekalkan roda berjejari ‘lidi’.

Bar handel yang tinggi menjamin kedudukan penunggangnya dalam keadaan menegak, dan pemijak kaki yang berada pada pertengahan casisnya menjanjikan posisi kaki anda sentiasa berada dalam keadaan rileks. Pelana yang empuk dan mendatar menjanjikan keselesaan penunggangan serta mesra untuk perjalanan lama atau jarak jauh.

Ekzos berkembar yang di’jungkit’kan sedikit untuk memberikan imej ‘garang’ keluar daripada enjin ikonik mereka yang menggunakan sistem sejukan udara melalui sirip-sirip kebuk enjin dengan bantuan tambahan sejukan minyak. Penggunaan warna aluminium sebagai penutup kebuk gear dan sisi enjin dilihat sebagai mengekalkan keberadaan motosikal berimej retro.

 

PANDU UJI

Seperti motosikal ikonik daripada Amerika, Royal Enfield ini juga sebenarnya mempunyai bunyi enjin yang boleh dikatakan sebagai ikonik juga. Ini datangnya daripada struktur susunan enjin berkembar selari yang menghasilkan bunyi ekzos seketul-seketul.

Menghidupkan suisnya memberikan deruman enjin yang lembut dan teratur, membuatkan ia seperti dengan rela hati menjadi sebahagian pengguna jalan raya. Setelah gear pertama ditekan untuk menggerakkan Interceptor ini daripada keadaan statik, motosikal ini dirasakan mempunyai agihan berat yang agak sekata antara roda hadapan dan roda belakang.

Pergerakan gear rendah ke gear yang tinggi lancar dan tanpa banyak masalah, namun tiada penunjuk gear pada meter menyebabkan saya terpaksa meneka dan berpandukan kepada deria bunyi dan pemahaman saya terhadap deruman enjin semata-mata. Satu-satunya fungsi yang saya agak terkilan tiada pada model ini.

Enjin berkuasa 648cc ini sebenarnya dikatakan menawarkan kuasa kuda sebanyak 47hp pada kadar RPM 7,150 dengan tork maksimum 52Nm pada kadar RPM 5,250. Interceptor ini bagi saya adalah sebuah ‘cruiser’ yang baik ketika berada atas jalan raya lurus atau lebuh raya, dan boleh menjadi sebuah “roadster” yang tidak mengecewakan seandainya menggunakan tayar yang mencengkam dan penalaan yang baik pada sistem suspensi jika ditunggang di jalan-jalan berselekoh.

 

KESIMPULAN

Interceptor ini wajar dijadikan pilihan anda kepada yang ingin mendapatkan pengalaman menunggang yang santai dan menikmati keadaan jalan raya terutama jalan-jalan lama atau jalan persekutuan yang diselang-selikan dengan pemandangan indah luar kota.

Begitu pun, model yang saya tunggang uji ini, mempunyai pelana yang agak keras, sehinggakan perasaan tidak selesa hanya dalam masa 30 minit pertama menunggangnya. Saya kurang pasti sama ada adakah model yang saya ambil ini sahaja yang mengalami masalah ini atau adakah keseluruhan model Interceptor ini bersifat demikian?. Amatlah rugi sekiranya model ini didatangkan dengan pelana sekeras kayu ini.

Barisan terbaharu Interceptor 650 ini mempunyai sedikit perubahan baharu iaitu bahagian-bahagian enjin dan ekzos yang sebelum ini sama ada bersalut warna aluminium atau krom, kini bersalut warna hitam dan menampilkan ‘kegilaan’ peminat motosikal Retro masakini yang menginginkan imej ‘garang’ dan ‘gothic’ sepertinya.

Bagi mereka yang meminati versi ‘café racer’ pula, anda boleh mengubahsuai Interceptor ini dengan mudah kepada versi berkenaan, namun cara lain yang lebih mudah iaitu memilih model ‘kembar tak seirasnya’ iaitu model CONTINENTAL GT yang mempunyai versi Café Racer.

Tarikan utama bagi saya model INTERCEPTOR ini ialah harga jualannya yang hanya RM33,700 tanpa caj cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Datang terus untuk mendapatkan sesi pandu uji di Royal Enfield berdekatan dengan anda!

 

SPESIFIKASI

ENJIN 648cc
KUASA MAKSIMA 47HP
KAPASITI TANGKI BAHAN API 13.7L
SISTEM PENYEJUKAN UDARA & MINYAK
SISTEM PENALAAN BAHAN API JENIS SUNTIKAN BAHAN API
RODA HADAPAN 100/90-18
BELAKANG 130/70-18
SUSPENSI HADAPAN JENIS TELESKOPIK

BELAKANG JENIS BERKEMBAR

KOTAK GEAR 6 KELAJUAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN