MEMILIKI rumah kadang-kala menelan belanja yang tinggi selain menjadi kayu pengukur sama ada kita sudah benar-benar bersedia untuk memiliki rumah atau tidak.
Mana tidaknya, pembeli perlu menyediakan deposit rumah sehingga 10 peratus daripada nilai rumah tersebut yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit.
Keadaan ini tentu menyukarkan pembeli terutamanya dalam kalangan belia yang baru bekerja untuk membayar deposit tinggi kerana wang simpanan yang tidak mencukupi, namun dalam dilema kerana beranggapan perlu membeli rumah lebih awal kerana harga rumah yang meningkat saban tahun.
Justeru, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan kerajaan memperkenalkan inisiatif Deposit Madani Deposit MADANI menyasarkan untuk menyediakan deposit sehingga RM30,000 kepada pembeli rumah pertama, selaras dengan dasar kerajaan ‘Rumahku, Syurgaku’.
Selain itu, KPKT juga bercadang memperkenalkan satu lagi inisiatif bagi membantu mengurangkan kebimbangan kewangan pembeli rumah, selain daripada bayaran bulanan kepada bank.
Skim itu mirip dengan Skim Tanggungan Faedah Pemaju (DIBS) sebelum ini, namun dengan peraturan yang lebih ketat akan membantu pembeli menyimpan lebih banyak wang.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan M K Land Holdings Berhad, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi berkata, cadangan inisiatif itu amat membantu pembeli kerana ramai yang boleh membayar ansuran bulanan pinjaman perumahan dari bank, namun menghadapi masalah untuk mengumpul wang untuk bayaran pendahuluan rumah 10 peratus dari harga rumah.
“Jika pembeli mampu simpan untuk wang pendahuluan pembelian rumah tetapi mereka perlu mengambil masa beberapa tahun untuk menabung untuk tujuan tersebut.
“Bagi cadangan skim yang seakan DIBS pula, kami merasakan ia idea yang bagus kerana dapat mengurangkan kos kepada pembeli sebelum rumah siap dibina dan memudahkan pembeli memiliki rumah.
“Ini juga merupakan satu keadah subsidi dari pemaju untuk bayar kos faedah semasa tempoh pembinaan, namun semestinya dengan peraturan lebih ketat dan jelas akan memudahkan skim itu dijalankan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, melalui inisitif Deposit Madani itu, pemaju boleh membantu golongan belia dengan menawarkan produk rumah bertanah berharga RM300,000 hingga RM500,000.
“Golongan belia akan paling tertarik dengan rumah bertanah dan susun atur mesra keluarga tiga bilik tidur dan dan bilik air.
“Oleh itu, strategi kami juga adalah menawarkan lebih banyak rumah dengan harga sekitar RM300,000 kerana skim ini akan membolehkan lebih ramai pembeli muda untuk rumah pertama akan mampu membeli rumah dalam masa terdekat mengikut harga tersebut.
“Permintaan juga dijangka akan meningkat untuk perumahan berharga sekitar RM300,000 yang majoriti daripada golongan belia yang ingin memiliki sebuah aset hartanah pertama.
“Ini kerana perubahan trend yang mungkin berlaku dalam pasaran hartanah adalah bagi peningkatan penawaran dan permintaan untuk rumah mampu milik berharga dari RM300,000 hingga RM500,000,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, inisiatif itu adalah satu langkah yang cukup progresif dan strategik oleh kerajaan dalam menangani keperluan membeli rumah dalam keadaan mencabar berikutan kenaikan harga rumah yang berterusan di seluruh negara.
“Golongan B40 dan M40 iaitu golongan muda yang masih produktif secara menjana pendapatan sememangnya akan menikmati insentif kerajaan ini sebagai rakyat Malaysia.
“Hal ini kerana, mereka mampu membayar pinjaman bulanan tetapi sukar mengumpul simpanan untuk membayar deposit bagii membeli rumah kerana cabaran kos sara hidup.
“Jadi, ini adalah langkah yang amat baik dalam menjana ekonomi domestik kerana industri perumahan mempunyai kesan gandaan ekonomi yang tinggi kepada sektor-sektor lain bukan sahaja sektor pembinaan, tetapi sektor borong dan runcit, perbankan dan kewangan, makanan dan minuman, logistik dan pengangkutan serta lain-lain lagi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, transaksi penjualan dan pembelian rumah adalah dikira barangan bernilai tinggi dalam sumbangan kepada peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.-UTUSAN










