PETALING JAYA: KK Mart Retail Berhad (KK Mart) menyasarkan untuk meningkatkan rangkaian kedainya kepada 1,500 cawangan di seluruh negara menjelang 2028 menerusi rancangan pengembangan perniagaan yang disokong tawaran awam permulaan (IPO) bernilai RM462 juta.
Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu dijadualkan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 15 Disember ini dengan nilai pasaran kira-kira RM1.9 bilion.
Syarikat itu menetapkan harga IPO maksimum sebanyak 55 sen sesaham berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 3.5 bilion saham.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas merangkap Pengarah Urusan Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Chai Kee Kan berkata, penyenaraian itu merupakan pencapaian penting selepas lebih dua dekad syarikat membangunkan perniagaan kedai serbaneka bagi memenuhi keperluan pengguna.
Katanya, kehadiran kukuh syarikat dalam segmen ekonomi tengah malam menjadi antara kelebihan perniagaannya apabila kira-kira 49.1 peratus daripada jumlah jualan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dijana pada waktu tengah malam.
“Dana IPO itu akan menyokong fasa pertumbuhan seterusnya melalui peluasan rangkaian kedai dan pusat pengedaran, selain memperkukuh keupayaan digital serta infrastruktur IT bagi meningkatkan kecekapan operasi,” katanya dalam kenyataan.
IPO itu melibatkan penawaran sehingga 840 juta saham biasa yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 210 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 630 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili enam peratus dan 18 peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan syarikat.
Daripada terbitan awam itu, KK Mart dijangka meraih hasil kasar kira-kira RM115.5 juta berdasarkan harga IPO maksimum.
Menurut prospektus, sebanyak 41.9 peratus daripada hasil terbitan awam akan digunakan untuk memperluas pusat pengedaran, manakala 24.2 peratus diperuntukkan bagi pelaburan dalam inisiatif digital serta perkakasan dan perisian teknologi maklumat (IT).
“Sebanyak 21.7 peratus lagi akan digunakan untuk pembukaan kedai baharu di Malaysia, manakala baki hasil diperuntukkan bagi membiayai perbelanjaan penyenaraian.
“KK Mart turut menyasarkan pembayaran dividen pada kadar kira-kira 40 hingga 60 peratus daripada keuntungan selepas cukai,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, KK Mart turut mencatatkan peningkatan prestasi kewangan bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, dengan keuntungan selepas cukai meningkat 5.8 peratus kepada RM24.5 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan meningkat 7.1 peratus kepada RM458 juta berbanding RM427.4 juta pada S1TK2026, disokong terutamanya oleh peluasan rangkaian kedai kumpulan.
Pendapatan sampingan menerusi program insentif pembekal turut meningkat kepada RM29 juta berbanding RM22.5 juta sebelumnya, sekali gus menyumbang secara langsung kepada keuntungan kumpulan kerana pendapatan itu tidak melibatkan kos berkaitan.
Sejajar dengan peningkatan hasil dan pendapatan sampingan, keuntungan kasar kumpulan meningkat 9.8 peratus kepada RM133.1 juta, manakala keuntungan sebelum cukai naik 3.4 peratus kepada RM32.7 juta.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Global Kumpulan Maybank, Datuk John Chong berkata, KK Mart berkembang menjadi antara rangkaian kedai serbaneka utama negara menerusi model perniagaan 24 jam, rangkaian kedai yang meluas serta pemahaman terhadap keperluan pengguna tempatan.
“Maybank berbangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan syarikat itu dalam memperluas perniagaan dan mengukuhkan kedudukan pasarannya,” katanya.
Tempoh permohonan IPO KK Mart dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 2 Disember 2026, pukul 5 petang.
Maybank Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Pengurus Buku Tunggal, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal bagi IPO berkenaan. – UTUSAN











