Perjalanan ECRL dari Gombak–KotaSAS hanya 85 minit - Utusan Malaysia

Perjalanan ECRL dari Gombak–KotaSAS hanya 85 minit

PEMBANGUNAN Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu bergerak seiring pusat pengedaran, taman industri, gudang, terminal kontena dan sistem penghantaran jarak pertama serta jarak terakhir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menghampiri fasa operasi apabila perjalanan antara Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak dan Stesen ECRL KotaSAS, Pahang dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira 85 minit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata, perjalanan tersebut juga mengambil masa yang sama untuk pulang, satu catatan yang menunjukkan perkembangan yang amat menggalakkan dalam fasa pengujian dan kesiapsiagaan ECRL.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, catatan perjalanan 85 minit dari Gombak ke KotaSAS merupakan satu perkembangan yang sangat positif.

“Pada masa yang sama, ahli lembaga berpeluang melihat dan merasai sendiri prestasi ECRL sambil melaksanakan tanggungjawab mereka dari sudut kewangan, teknikal, audit, risiko dan tadbir urus.

“Ini penting kerana kita kini berada pada fasa kritikal peralihan daripada pembinaan kepada operasi. Fokus kita bukan semata-mata kepada kelajuan atau masa perjalanan, tetapi
memastikan keseluruhan sistem selamat, boleh dipercayai dan benar-benar bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, dua Jawatankuasa Lembaga Pengarah MRL mengadakan mesyuarat masing-masing dalam Comprehensive Inspection Train (CIT) ECRL sepanjang perjalanan dua hala dari Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak ke Stesen ECRL KotaSAS, Pahang.

Jelasnya, Jawatankuasa Kewangan dan Teknikal serta Jawatankuasa Audit, Risiko dan Tadbir Urus Lembaga bersidang semalam sepanjang perjalanan tersebut, sekali gus memberi peluang kepada ahli-ahli Jawatankuasa untuk menilai sendiri prestasi perjalanan dan perkembangan semasa projek dalam keadaan operasi sebenar.

Katanya, penganjuran mesyuarat dalam tren turut mencerminkan pendekatan MRL yang menekankan pengawasan ahli lembaga secara langsung di lapangan, khususnya ketika projek kini semakin hampir memasuki fasa operasi.

Tambahnya, MRL akan terus mempergiatkan pengujian, pentauliahan dan persediaan operasi bagi memastikan keseluruhan sistem ECRL memenuhi keperluan keselamatan, teknikal serta
kawal selia sebelum perkhidmatan dibuka kepada orang ramai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN