MALAYSIA memaksimumkan penggunaan pasaran bon mata wang tempatan untuk menggerakkan pembiayaan infrastruktur sejajar dengan keutamaan rancangan pembangunan lima tahun dan strategi negara yang lebih meluas.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027, usaha ini secara tidak langsung memenuhi minat pelabur dan menyokong keperluan pembiayaan syarikat tempatan.
“Pasaran modal domestik yang matang dan sofistikated mengurangkan kebergantungan negara terhadap saluran pembiayaan tradisional secara signifikan serta meminimumkan risiko tumpuan.
“Ini sekali gus memberikan autonomi dan fleksibiliti yang lebih besar kepada Malaysia untuk membiayai pertumbuhan dan pembangunan jangka masa panjang,” katanya.
Menurut laporan itu, pasaran bon mata wang tempatan dan sukuk di Malaysia dibina atas ekosistem dasar awam, kawal selia, infrastruktur, permintaan institusi serta perantaraan pasaran yang saling memperkukuh antara satu sama lain.
Jelasnya, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah memperkasa kerangka terbitan, penzahiran maklumat, perlindungan pelabur dan pasaran modal Islam secara berperingkat manakala neutraliti cukai, insentif terpilih serta dasar pembangunan yang lebih luas menyokong penyertaan pasaran dan pembiayaan ringgit jangka panjang.
“Projek nasional termasuk penswastaan, pembinaan lebuh raya, program solar berskala besar, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur air telah mewujudkan rangkaian projek infrastruktur dan pelaburan yang mampan.
“Pembiayaan mata wang tempatan membantu menghapuskan ketakpadanan mata wang serta meningkatkan daya tarikan pembiayaan domestik kepada penaja, pemberi pinjaman dan pelabur memandangkan hasil projek seperti tarif, tol dan pembayaran pembelian tenaga secara amnya didenominasikan dalam ringgit,” jelasnya. – UTUSAN











