Warga emas terselamat selepas 11 hari sesat di hutan Amazon

Warga emas terselamat selepas 11 hari sesat di hutan Amazon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRASILIA: Seorang warga emas berusia 74 tahun yang menghidap penyakit Alzheimer ditemukan selamat selepas 11 hari tersesat di hutan hujan Amazon, Brazil, dengan bertahan hidup memakan buah-buahan liar dan tidur di atas timbunan daun.

Lelaki dikenali sebagai Ferreira dos Santos itu ditemukan pasukan penyelamat pada Jumaat, kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Penemuan itu dilakukan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluaskan, susulan kehilangan lelaki berkenaan yang mencetuskan kebimbangan keluarganya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Cucunya, Sara Montes sebelum ini merayu supaya pasukan bomba tidak menghentikan operasi pencarian, sembilan hari selepas datuknya dilaporkan hilang.

Dalam video yang dimuat naik di Instagram, dia berkata operasi pencarian sepatutnya ditamatkan kelmarin.

Imej yang dikongsi selepas operasi menyelamat menunjukkan Ferreira dos Santos hanya memakai seluar dalam dan kelihatan kebingungan ketika ditemukan.

Video yang disiarkan laman berita g1 pula menunjukkan beberapa anggota penyelamat mengusungnya keluar dari hutan menggunakan pengusung sementara.

Media tempatan melaporkan, Ferreira dos Santos yang pernah bekerja sebagai pelombong kecil-kecilan dan mengenali kawasan hutan itu berjaya bertahan dengan memakan buah pokok buriti, sejenis palma yang tumbuh di Amazon. Dia turut mendapatkan bekalan air daripada sumber semula jadi sepanjang tersesat.

Renjer taman, Nerivan da Silva memberitahu g1 pasukan penyelamat menemukan beberapa tempat tidur yang dibina lelaki itu menggunakan daun pokok palma açaí.

Mereka turut menemukan kesan tapak kaki yang menunjukkan mangsa dipercayai berjalan berpusing-pusing di kawasan hutan berkenaan.

Keadaan hutan hujan yang tebal dengan tumbuh-tumbuhan padat menyukarkan operasi pencarian kerana jarak penglihatan di kawasan itu hanya beberapa meter.

Menurut g1, Ferreira dos Santos masih menerima rawatan di hospital setakat pagi Ahad. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini