KUALA LUMPUR: Seramai 12 ahli fisioterapi daripada Your Physio Sdn. Bhd. ( Your Physio) berjaya menamatkan program HELP Professional Certificate in Advanced Neck Management.
Mereka menerima sijil profesional masing-masing sempena Majlis Graduasi dan Pengiktirafan Universiti HELP November 2026 yang berlangsung kelmarin.
Program anjuran Universiti HELP dengan kerjasama Your Physio itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasa pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan profesional berterusan dalam kalangan ahli fisioterapi.
Melalui gabungan kepakaran akademik dan pengalaman klinikal, kerjasama itu bertujuan memperkukuh pengetahuan, meningkatkan kecekapan profesional serta memenuhi keperluan penjagaan pesakit yang semakin berkembang.
Naib Canselor Universiti HELP, Prof. Dr. Liew Teik Kooi (Andy) berkata, pembelajaran tidak seharusnya terhenti selepas seseorang menamatkan pengajian, sebaliknya perlu diteruskan sepanjang kerjaya bagi memastikan pengetahuan dan kemahiran sentiasa relevan.
“Di Universiti HELP, kami percaya bahawa graduasi bukanlah penamat kepada pembelajaran, sebaliknya merupakan langkah pertama dalam perjalanan sepanjang hayat untuk menimba ilmu, membangunkan potensi diri dan meningkatkan keupayaan profesional.
“Dalam dunia yang sentiasa berubah dari segi pengetahuan, teknologi dan amalan industri, pembelajaran perlu diteruskan sepanjang kerjaya seseorang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, peranan universiti bukan sekadar menyediakan program akademik, malah menjadi rakan strategik kepada industri dalam memperkukuh pembangunan modal insan.
“Kami berhasrat untuk menjadi rakan pembelajaran sepanjang hayat dengan bekerjasama rapat bersama pihak industri dan badan profesional, sama ada di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa, bagi menyediakan peluang peningkatan dan pembaharuan kemahiran secara berterusan.
“Usaha ini penting bagi memastikan golongan profesional kekal kompeten, berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dalam bidang masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Fisioterapi Your Physio, Lee Choon Yik berkata, kejayaan program itu menandakan permulaan kepada kerjasama yang lebih luas bersama Universiti HELP.
Beliau berkata, beberapa modul pensijilan profesional baharu sedang dirancang, merangkumi pengurusan masalah bahu, belakang dan lutut, selain strok, skoliosis serta vertigo.
“Ini hanyalah permulaan. Kami merancang untuk memperkenalkan lebih banyak modul pensijilan profesional bersama Universiti HELP supaya lebih ramai ahli fisioterapi di Malaysia dapat meningkatkan kepakaran mereka dan memberikan rawatan yang lebih berkualiti kepada pesakit,” katanya. – UTUSAN











