Gaji minimum dipersetujui Majlis Perundingan Gaji Negara 

Gaji minimum RM2,000 dipersetujui Majlis Perundingan Gaji Negara 

JOHAN MAHMOOD MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penetapan kadar gaji minimum RM2,000 sebulan telah dibentangkan dan diluluskan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara yang dianggotai wakil kesatuan pekerja dan majikan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, kadar berkenaan telah dipersetujui di peringkat majlis itu, manakala pertimbangan di peringkat Jemaah Menteri diberikan untuk membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat tempoh penyesuaian lebih panjang.

“Di peringkat majlis itu, terdapat wakil bukan sahaja daripada kesatuan pekerja, tetapi juga daripada majikan. Tahap RM2000 itu tidak dipertikaikan dan telah dipersetujui. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hanya dalam pertimbangan di peringkat Jemaah Menteri, pertimbangan telah diberikan untuk memberi tempoh masa yang lebih panjang sedikit untuk PMKS supaya mereka mungkin akan laksanakan kemudian. 

“Kita mulakan dengan syarikat besar dulu sebab kita juga memahami syarikat PMKS juga antara yang terkesan daripada konflik di Asia Barat dan mungkin memerlukan lebih masa untuk membuat penyesuaian model perniagaan masing-masing,” katanya kepada pemberita sempena Dialog pasca-Belanjawan 2027 di Lanai Kijang semalam.

Antara panel terlibat adalah Penasihat Dasar Percukaian KPMG Malaysia, Dr. Veerinderjeet Singh, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan, Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng serta Pengarah Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Suraya Ismail.

Menurut Johan, cabaran kos sara hidup isi rumah bukan hanya berkaitan kadar inflasi, sebaliknya turut berpunca daripada pendapatan yang tidak meningkat seiring dengan kenaikan kos sara hidup.

Sehubungan itu, katanya, usaha meningkatkan pendapatan rakyat menjadi agenda penting kerajaan, dengan pelaksanaan gaji minimum sebagai antara pendekatan untuk mencapai matlamat berkenaan.

“Kadar gaji minimum RM2,000 akan berkuat kuasa pada Jun 2027, dengan pelaksanaan dimulakan oleh syarikat besar sebelum PMKS diberikan ruang untuk membuat penyesuaian,” katanya.

Menurutnya, syarikat besar juga diharap menyemak struktur gaji secara menyeluruh dan bukan hanya menaikkan gaji pekerja pada peringkat terendah bagi mengelakkan keadaan pemampatan gaji iaitu apabila gaji pekerja bergaji rendah meningkat tetapi gaji kumpulan pekerja lain tidak diselaraskan.

Katanya, semakan itu juga perlu mengambil kira gaji permulaan bagi graduan dan pemegang diploma, selain penanda aras gaji wajar sebanyak RM3,400 yang ditetapkan untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai rujukan kepada sektor swasta.

Dalam pembentangan Belanjawan 2027, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, yang dijangka memanfaatkan lebih empat juta pekerja di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu bertujuan merapatkan jurang antara produktiviti dengan upah pekerja, selain menangani tekanan kos sara hidup susulan pendapatan rakyat yang tidak meningkat seiring kenaikan harga barangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini