PETALING JAYA: Fasa pertumbuhan ekonomi Johor yang seterusnya bakal dipacu secara agresif oleh projek infrastruktur mega terutamanya Sistem Transit Rapid (RTS) Link dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Wilayah Selatan, Lee Ting Kiat berkata, pembangunan infrastruktur utama ini bukan sahaja memperkukuh kesalinghubungan malah meningkatkan keyakinan pelabur untuk bertapak di negeri ini.
Menurut beliau, RTS Link merupakan pemangkin perubahan yang sangat besar buat Johor kerana ia menawarkan elemen yang paling dihargai oleh komuniti perniagaan iaitu kepastian masa perjalanan.
“Sebelum ini, perniagaan terpaksa merancang operasi berdasarkan tempoh perjalanan yang tidak menentu merentasi Tambak Johor untuk bertemu pelanggan atau menggerakkan tenaga kerja.
“Dengan adanya RTS Link, ketidakpastian ini dapat diatasi sekali gus membolehkan syarikat merancang operasi dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi panel bertajuk “Bagaimana Infrastruktur Akan Mencorakkan Fasa Pertumbuhan Baharu Johor?” sempena Perjumpaan Bulanan MICCI Wilayah Selatan dengan kerjasama Astaka Padu Sdn. Bhd.
Sesi tersebut turut menampilkan wakil daripada Knight Frank Malaysia dan Astaka Padu, serta dikendalikan oleh Rakan Kongsi PricewaterhouseCoopers (PwC), Benedict Francis.
Mengulas lanjut, Ting Kiat berkata, selain melancarkan mobiliti tenaga kerja antara Johor dan Singapura, pelaksanaan RTS Link turut dijangka merancakkan pasaran hartanah di sekitar Johor Bahru, khususnya bagi pembangunan kediaman dan komersial yang terletak berhampiran hab pengangkutan utama.
Pada masa yang sama, penubuhan JS-SEZ dijangka mempercepatkan pertumbuhan sektor perindustrian yang memberi limpahan manfaat kepada rantaian sokongan tempatan termasuk pengilang, penyedia logistik, syarikat kejuruteraan dan teknologi.
Bagaimanapun, beliau berkata, kemampuan Johor untuk memanfaatkan sepenuhnya limpahan ekonomi ini bergantung kepada kesiapsiagaan syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“PKS tidak boleh lagi bertahan dengan kaedah operasi lama. Mereka perlu segera berubah dengan memperkukuh keupayaan digital, memperoleh pensijilan antarabangsa yang diiktiraf serta memanfaatkan geran bantuan kerajaan.
“Syarikat yang membuat persediaan awal ini pastinya berada di kedudukan terbaik untuk merebut peluang rantaian bekalan apabila lebih banyak pelaburan asing mula masuk ke Johor,” katanya.
Tambahnya, momentum pelaburan dalam sektor digital dan pusat data di Johor ketika ini juga memerlukan penambahbaikan berterusan terhadap infrastruktur utiliti utama seperti bekalan air dan elektrik bagi memastikan ekosistem perindustrian kekal mampan dan berdaya saing. – UTUSAN










