PEMBAZIRAN makanan isi rumah di Malaysia dianggarkan antara 31.9 kilogram hingga 97.3 kilogram per kapita setahun

Pembaziran makanan isi rumah di Malaysia dianggarkan antara 31.9 kilogram hingga 97.3 kilogram per kapita setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBAZIRAN makanan isi rumah di Malaysia dianggarkan antara 31.9 kilogram hingga 97.3 kilogram per kapita setahun, sekali gus menggambarkan skala isu tersebut di peringkat nasional. 

Menurut statistik Jabatan Perangkaan, dapatan Survei Indikator Isi Rumah Nasional (NHIS) 2025 turut menunjukkan pembaziran lebih ketara melibatkan makanan diproses atau dimasak berbanding makanan mentah.

Pembaziran makanan semakin signifikan kerana memberi kesan langsung kepada keselamatan makanan, kecekapan penggunaan sumber, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.

Statistik yang diterbitkan itu turut memberikan gambaran menyeluruh mengenai amalan pengurusan sisa makanan isi rumah merangkumi kuantiti pembaziran, jenis makanan paling banyak dibazirkan serta faktor utama yang menyumbang kepada isu berkenaan di Malaysia.

Dari segi kuantiti, majoriti isi rumah didapati membuang kurang daripada 500 gram makanan seminggu, iaitu 48.2 peratus bagi makanan mentah dan 45.6 peratus bagi makanan diproses atau dimasak.

Sebanyak 94.1 peratus isi rumah dilaporkan membuang makanan diproses atau dimasak, berbanding 88.7 peratus bagi makanan mentah.

Bagi menangani isu tersebut, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyasarkan pengurangan pembaziran makanan isi rumah secara berperingkat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Pengurangan Sisa ke Tapak Pelupusan yang sedang dimuktamadkan.

Pelan berkenaan bakal menjadi hala tuju nasional dalam mengurangkan jumlah sisa makanan yang dihantar ke tapak pelupusan dengan memberi tumpuan kepada pendekatan ekonomi kitaran berasaskan amalan 9R, termasuk mengurangkan, menggunakan semula, membaiki, mengitar semula serta memanfaatkan semula sumber.

Menurut SWCorp, sasaran kuantitatif masih diperhalusi bagi memastikan ia realistik, boleh diukur dan selaras dengan dasar negara, namun fokus utama adalah mengubah tingkah laku pengguna, memperkukuh pengasingan sisa di punca serta meningkatkan kerjasama antara kerajaan, industri dan masyarakat.

“Langkah itu dibuat susulan dapatan NHIS 2025 yang menunjukkan pembaziran makanan masih menjadi cabaran utama. 

“Kajian Komposisi Sisa Pepejal SWCorp turut merekodkan peningkatan lima peratus sisa makanan yang masih boleh dimakan berbanding 2023, sekali gus mencerminkan masih banyak nilai ekonomi makanan yang hilang akibat pembaziran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada masa sama, SWCorp melihat pengurusan sisa makanan bukan sekadar isu alam sekitar, malah mempunyai implikasi terhadap ekonomi negara menerusi kehilangan sumber makanan, peningkatan kos pelupusan dan pembaziran sumber yang sepatutnya boleh dimanfaatkan semula.

“Walaupun begitu, beberapa petunjuk menunjukkan perkembangan positif apabila komposisi sisa makanan yang dihantar ke tapak pelupusan menurun daripada 45 peratus pada 2022 kepada 37.04 peratus pada 2026. Pembaziran makanan yang masih boleh dimakan turut berkurangan daripada 24 peratus kepada 15.78 peratus dalam tempoh sama.

“Selain itu, jumlah pembaziran makanan sepanjang Ramadan 2026 turut menurun sebanyak 11.74 peratus berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan peningkatan kesedaran pengguna dan peniaga dalam menguruskan makanan secara lebih berhemah.

“Namun begitu, NHIS 2025 turut mendapati sebanyak 79.3 peratus isi rumah masih mencampurkan sisa makanan dengan sampah biasa. Antara cabaran utama dikenal pasti ialah tahap kesedaran yang masih rendah, amalan pengasingan sisa yang tidak konsisten serta kekurangan kemudahan dan infrastruktur di beberapa kawasan,” katanya. 

Bagi memperkukuh ekosistem ekonomi kitaran, SWCorp kini melaksanakan Projek Pembuktian Konsep (PoC) Kutipan Sisa Makanan di beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur, Bandar Baru Nilai dan Kulim. 

Katanya, sisa makanan yang dikumpulkan diproses menggunakan teknologi seperti pengkomposan, Black Soldier Fly (BSF) dan Anaerobic Digester (AD) bagi menghasilkan baja kompos, makanan ternakan serta tenaga boleh diperbaharui.

“Sehingga 30 April 2026, sebanyak 276.5 tan sisa makanan berjaya dikutip dan dirawat menerusi projek tersebut, sekali gus membuktikan potensi sisa makanan sebagai sumber ekonomi yang boleh dipulihkan berbanding dilupuskan,” katanya.

SWCorp turut memperluaskan kerjasama dengan sektor komersial, institusi dan pertubuhan bukan kerajaan menerusi program penyelamatan lebihan makanan, penggunaan aplikasi digital ReShare serta kempen “Hargai Makanan, Elak Pembaziran”.

Malah, menerusi kerjasama Program MySaveFood bersama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, sebanyak 72 tan lebihan makanan berjaya diselamatkan daripada 142 bazar ramadan pada tahun ini untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Dalam pada itu, SWCorp akan terus memperluaskan pendidikan berkaitan perancangan pembelian makanan, penyimpanan makanan dan pengurusan lebihan makanan melalui media sosial serta aplikasi digital bagi mengurangkan pembaziran di peringkat isi rumah.

Menurut SWCorp, peningkatan kadar pengasingan sisa makanan yang kini berada pada 20.7 peratus akan dilaksanakan secara berperingkat, manakala sasaran khusus akan diumumkan selepas Pelan Tindakan Pengurangan Sisa ke Tapak Pelupusan dimuktamadkan.

“Usaha itu dilihat mampu menyokong agenda ekonomi kitaran negara dengan mengurangkan kos pelupusan sisa, meningkatkan kadar pemulihan sumber serta mengoptimumkan penggunaan makanan yang masih mempunyai nilai ekonomi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN