PETALING JAYA: Pengiktirafan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) oleh Lembaga Keselamatan Produk Makanan dan Pengguna Belanda (NVWA) sebagai Sistem Kawalan Persendirian bakal memperkukuh kesiapsiagaan industri sawit tempatan mendepani Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Penerimaan standard nasional itu sebagai sistem jaminan pihak ketiga bagi menyokong penyeliaan pematuhan EUDR sekali gus membuktikan kekuatan struktur pensijilan, audit dan kawal selia rantaian komoditi Malaysia di peringkat global.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Dr. Noraini Ahmad berkata, pengiktirafan ini membuka ruang besar kepada penghantaran minyak sawit Malaysia yang mempunyai pensijilan MSPO untuk dipertimbangkan di bawah prosedur penyeliaan bersesuaian oleh NVWA.
“Langkah ini sangat penting memandangkan Belanda mempunyai kedudukan strategik dalam perdagangan minyak sawit ke pasaran Eropah, khususnya melalui Rotterdam yang bertindak sebagai pintu masuk utama komoditi pertanian ke rantau berkenaan.
“Malah, perkembangan ini juga tepat pada masanya memandangkan peraturan EUDR akan mula dikuatkuasakan kepada operator besar dan sederhana pada 30 Disember 2026, diikuti oleh operator kecil pada Jun 2027,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Noraini, ketetapan baharu itu secara langsung menyokong kesiapsiagaan industri sawit negara termasuk golongan pekebun kecil dalam memenuhi keperluan kelestarian, kebolehkesanan dan pematuhan rantaian bekalan antarabangsa.
Bagi memastikan momentum positif itu berterusan, beliau berkata, kementerian akan terus memperkukuh pelaksanaan MSPO bersama agensi berkaitan, badan pensijilan, juruaudit dan pemain industri.
“Tumpuan utama akan diberikan kepada aspek pematuhan, audit, kebolehkesanan serta penyediaan bimbingan berterusan kepada pekebun kecil bagi menyokong kesiapsiagaan sektor sawit negara terhadap pelaksanaan penuh EUDR kelak.
“Kementerian juga merakamkan penghargaan kepada pihak MSPO, Lembaga Pemegang Amanah dan semua rantaian industri yang bersama-sama memperkukuh kedudukan MSPO sebagai standard nasional yang inklusif serta berwibawa.
“Penerimaan ini jelas memperkukuh usaha Malaysia dalam membangunkan industri sawit yang mampan, bertanggungjawab dan berdaya saing selaras dengan kepentingan eksport komoditi negara,” katanya. – UTUSAN










