FBM KLCI dijangka bergerak sehingga 1,725 mata minggu ini

FBM KLCI dijangka bergerak sehingga 1,725 mata minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran saham dijangka meneruskan momentum positif minggu ini dengan FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) berpotensi bergerak dalam julat 1,695 hingga 1,725 mata, disokong aliran dana asing, harga minyak yang kekal tinggi dan asas ekonomi domestik yang stabil.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sekiranya tiada perkembangan negatif geopolitik baharu, indeks penanda aras itu masih mempunyai ruang untuk meningkat, khususnya dipacu kaunter perbankan serta minyak dan gas (O&G).

“Paras 1,700 mata kekal sebagai tahap psikologi yang penting. Ada kemungkinan pelabur mengambil untung, lebih-lebih lagi jika harga minyak meningkat terlalu pantas melepasi AS$85 (RM345.16) setong kerana ia boleh menghidupkan semula kebimbangan terhadap inflasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sentimen positif pasaran turut didorong persekitaran serantau yang lebih baik apabila Wall Street, Nikkei dan Indeks Hang Seng China Enterprises (HSCEI) mencatat kenaikan, sekali gus menarik semula aliran dana asing ke Asia Tenggara termasuk Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, harga minyak Brent yang melepasi AS$80 (RM325.80) setong memberi rangsangan kepada saham O&G, utiliti dan perbankan, di samping meningkatkan jangkaan terhadap hasil kerajaan serta dividen Petronas.

Menurutnya, asas ekonomi Malaysia yang kekal kukuh menerusi inflasi terkawal, pelaburan pusat data yang berterusan dan kestabilan ringgit turut menyokong keyakinan pelabur.

“Namun, kenaikan harga minyak yang berpanjangan boleh meningkatkan tekanan inflasi dan kos subsidi, sekali gus menjejaskan kuasa beli pengguna serta menyukarkan bank pusat menurunkan kadar faedah.

“Jika konflik geopolitik semakin meruncing sehingga menjejaskan bekalan minyak global, harga minyak berpotensi melonjak ke AS$100 (RM407.25) setong. Dalam keadaan itu, sentimen pasaran boleh berubah negatif dan memberi tekanan kepada kebanyakan sektor,” ujarnya.

Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, peningkatan harga minyak mentah telah meningkatkan prestasi saham syarikat berkaitan O&G, khususnya syarikat berkaitan Petronas yang mempunyai pemberat besar dalam FBM KLCI. 

Pada masa sama, beliau berkata, jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mula melonggarkan dasar monetari berkecenderungan meningkatkan risiko pelabur global dan menggalakkan aliran masuk modal asing ke pasaran negara membangun termasuk Malaysia.

“Justeru, walaupun kenaikan FBM KLCI mencerminkan asas ekonomi domestik yang semakin baik, ia masih banyak dipengaruhi oleh perkembangan global seperti harga komoditi, dasar monetari antarabangsa dan sentimen pelabur global.

“Dari perspektif domestik, ekonomi Malaysia masih menunjukkan daya tahan yang baik. Perbelanjaan isi rumah kekal kukuh hasil pasaran buruh yang stabil dan kadar inflasi yang terkawal. 

“Aktiviti pelaburan juga semakin rancak, khususnya dalam sektor infrastruktur, pembuatan, pusat data, tenaga boleh baharu (TBB) dan industri semikonduktor. Perkembangan ini meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam jangka sederhana dan panjang,” jelasnya.

Siong Hook berkata, kenaikan serentak harga minyak dan pasaran saham sememangnya menunjukkan peningkatan keyakinan pelabur, namun ia tidak semestinya mencerminkan bahawa prospek ekonomi telah bertambah kukuh secara menyeluruh.

“Sekiranya kenaikan pasaran saham disokong oleh pertumbuhan keuntungan syarikat, peningkatan produktiviti, pelaburan yang mampan dan permintaan domestik yang kukuh, maka kenaikan tersebut mencerminkan asas ekonomi yang benar-benar bertambah baik.

“Sebaliknya, jika kenaikan pasaran lebih banyak didorong oleh harga komoditi yang tinggi, aliran masuk modal jangka pendek atau jangkaan penurunan kadar faedah global, pasaran masih terdedah kepada pembetulan sekiranya faktor-faktor tersebut berubah,” katanya.

Tambahnya, beberapa risiko utama masih perlu diberi perhatian termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meruncing boleh mengganggu perdagangan dunia serta pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan, khususnya di AS atau China yang boleh mengurangkan permintaan eksport Malaysia dan menjejaskan keuntungan syarikat.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini