Berniaga tepi jalan, kini raih pendapatan setengah juta setahun

Berniaga tepi jalan, kini raih pendapatan setengah juta setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan modal hanya RM100 dan berniaga di tepi jalan, anak jati Melaka, Noorbaizura Abdul Wahid kini berjaya menjana pendapatan sekitar RM360,000 hingga RM480,000 setahun menerusi perusahaan makanan tradisional di bawah jenama Dodol Puan.

Kejayaan itu dicapai hasil usaha berterusan mengembangkan perniagaan sejak 2017, termasuk memperoleh pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MESTI), selain memanfaatkan platform digital bagi meluaskan pasaran.

Pengasas dan Pengurus Hazura Naning Enterprise itu berkata, antara perubahan paling ketara dalam perkembangan perniagaannya ialah penggunaan media sosial sebagai medium pemasaran yang melengkapi jualan secara fizikal.

Menurutnya, platform seperti TikTok dan Facebook banyak membantu memperkenalkan Dodol Puan kepada pelanggan di seluruh negara menerusi perkongsian video proses pembuatan dodol, aktiviti perniagaan serta promosi produk.

“Hari ini kami merekodkan hasil sekitar RM30,000 hingga RM40,000 sebulan bersamaan RM360,000 hingga RM480,000 setahun.

“Walaupun sukar menentukan peratusan tepat, sebahagian besar pertambahan pelanggan dan jualan disumbangkan oleh pemasaran digital, khususnya melalui TikTok yang banyak meningkatkan kesedaran terhadap jenama kami,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Noorbaizura berkata, Dodol Puan ditubuhkan pada 2017 dengan menjual dodol secara kecil-kecilan di tepi jalan selama lima tahun sebelum berjaya membuka kedai kraftangan dan pusat jualan berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat pada 2022.

Katanya, pada peringkat awal perniagaan, semua hasil jualan dikumpulkan semula sebagai modal pusingan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, menambah variasi produk dan memperkukuh strategi pemasaran.

“Operasi syarikat turut dinaik taraf pada 2024 menerusi pembinaan sebuah bengkel pengeluaran bagi memenuhi syarat pensijilan Halal dan MESTI.

“Usaha ini membuahkan hasil apabila kami berjaya memperoleh kedua-dua pensijilan tersebut pada tahun ini, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap aspek kebersihan, keselamatan makanan dan kualiti produk.

“Daripada pengeluaran secara kecil-kecilan, kini kami mampu memenuhi permintaan pelanggan individu, tempahan majlis, katering, jualan dalam talian serta pelanggan korporat.

“Pensijilan Halal dan MESTI bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelanggan, malah membuka peluang kepada kami menembusi pasaran yang lebih luas termasuk rangkaian peruncitan,” katanya.

Dihasilkan menggunakan resipi warisan, Dodol Puan mengekalkan penekanan terhadap kualiti, kebersihan dan rasa asli bagi memastikan produk tradisional itu terus mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

Beliau berkata, syarikat turut merancang menaik taraf kemudahan pengeluaran melalui penggunaan mesin berteknologi dan sistem operasi yang lebih cekap bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.

Mengulas idea penubuhan Dodol Puan, Noorbaizura berkata, beliau mahu memartabatkan makanan warisan Melayu yang semakin dilupakan, khususnya dodol sebagai juadah tradisional masyarakat Malaysia.

“Saya mahu memastikan keenakan dodol asli terus dinikmati oleh generasi akan datang dengan mengekalkan resipi tradisi menggunakan bahan berkualiti serta menghasilkan produk yang bersih dan memenuhi piawaian keselamatan makanan.

“Pada masa sama, saya mahu membangunkan jenama makanan warisan Melaka yang dikenali di seluruh negara, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” jelasnya.

Mengulas cabaran perniagaan, beliau berkata, jualan lazimnya menurun pada musim biasa apabila tiada sambutan perayaan atau cuti sekolah kerana permintaan terhadap dodol lebih tinggi ketika musim perayaan.

“Bagi mengatasi cabaran itu, kami memperluaskan saluran jualan dengan menyertai pelbagai program dan acara, selain menawarkan tempahan bagi kenduri, majlis korporat serta program komuniti.

“Melalui strategi ini, kami dapat mengekalkan aliran jualan sepanjang tahun di samping memperkenalkan Dodol Puan kepada lebih ramai pelanggan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sokongan keluarga menjadi pemangkin utama sejak awal pembabitan dalam perniagaan, manakala kepercayaan pelanggan dan komuniti setempat banyak membantu mengembangkan jenama tersebut.

“Tanpa sokongan keluarga dan pelanggan yang terus memberi kepercayaan, mungkin sukar untuk saya berada pada tahap hari ini. 

“Mereka menjadi pemangkin untuk saya terus meningkatkan kualiti produk,” katanya.

Beliau turut menasihatkan golongan muda supaya tidak takut memulakan perniagaan walaupun dengan modal yang kecil kerana setiap kejayaan bermula daripada langkah pertama.

“Seorang usahawan perlu berani mencuba, sentiasa menjaga kualiti produk serta memanfaatkan teknologi dan media sosial.

“Kita juga perlu membina kepercayaan pelanggan kerana kejayaan jangka panjang sesebuah perniagaan bergantung kepada reputasi dan usaha yang konsisten,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN