PETALING JAYA: AGARTECH Ventures Sdn. Bhd. (AVSB) menyasarkan pengeluaran satu juta benih pokok karas hibrid setahun bagi menjadikan Malaysia sebagai hab industri cip kayu serta pengeluar produk gaharu premium untuk pasaran global.
Pengerusi AVSB, Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata, syarikat itu kini mampu menghasilkan sehingga 600,000 benih pokok karas varieti MyKynam setahun yang dibiakkan di dua tapak semaian berkeluasan 5.26 hektar di Lendu, Melaka.
Menurutnya, hasil inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di AVSB sejak 2017 berjaya membangunkan 24 variasi karas hibrid, termasuk kacukan pokok karas spesies Malacensis Aqurilla dengan karas Kynam dari China yang menghasilkan varieti MyKynam.
“Pokok karas MyKynam menghasilkan teras dan resin premium serta organik sekali gus mendapat permintaan tinggi daripada pengguna di pasaran China, Jepuh, Korea, Australia, negara Arab mahupun Eropah.
“Melihat kepada rekod jualan di pasaran antarabangsa sehingga mencecah AS$12 billion setahun, kami yakin MyKynam berpotensi menjadi komoditi baharu dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara jika ditanam secara berjadual serta konsisten pada skala besar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau bagaimanapun meletakkan syarat untuk menjayakan pembangunan industri gaharu negara perlu mendapat sokongan kerajaan menerusi penglibatan agensinya.
“Ia selain penyertaan permainan industri, pelabur swasta, institusi penyelidikan dan akademia serta kesedaran yang digembleng menerusi semua platform media.
“Antaranya, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) memainkan peranan penting termasuk dalam pembangunan kapasiti industri, penyediaan khidmat teknikal, pembangunan piawaian serta pengembangan pasaran.
“Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di Melaka pula menjadi rakan strategik dalam memperkukuh R&D, data, inovasi dan pembangunan modal insan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, AVSB ditubuhkan dengan matlamat membangunkan industri MyKynam secara profesional, berdaya saing dan lestari menerusi kegiatan R&D, pembangunan benih hibrid, pengeluaran anak benih, pembangunan ladang komersial serta pembangunan modal insan.
“Selepas kejayaan R&D, syarikat kini memasuki fasa baharu dengan memberi tumpuan kepada pembinaan ekosistem industri yang lebih menyeluruh.
“Ia semestinya melalui kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti, pelaburan dan pengembangan pasaran,” jelasnya.
Beliau berkata, dalam usaha memperkukuh agenda tersebut, AVSB menggariskan Visi Agartech 2035.
“Ia merupakan pelan strategik jangka panjang yang fokus kepada peluasan rangkaian tapak semaian dan ladang komersial, memperkasa usahawan dan pekebun tempatan serta memperluaskan jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.
“Malaysia mempunyai kelebihan kompetitif menjadi peneraju industri gaharu era baharu kerana iklim tropika dan tanah yang kondusif, sistem logistik yang baik, kepakaran R&D serta modal insan berkualiti untuk membangunkan industri MyKynam secara lestari,” jelasnya. -UTUSAN










