Amazfit nampaknya semakin serius dalam dunia kecergasan apabila memperkenalkan ekosistem Hybrid Training secara rasmi di Malaysia.
Menariknya, ia bukan sekadar melancarkan jam pintar baharu, tetapi turut menawarkan satu ekosistem lengkap yang menggabungkan latihan, pemulihan dan pemantauan prestasi dalam satu platform.
Pelancaran itu turut menyaksikan ketibaan Amazfit Balance 3, yang kini boleh didapati di Malaysia, manakala Balance Ultra diperkenalkan sebagai model premium untuk pengguna yang mahukan prestasi lebih tinggi.
Apa yang membezakan ekosistem Hybrid Training ini ialah gabungan kecerdasan aplikasi Zepp bersama siri Balance.
Melaluinya, pengguna boleh melihat gambaran lebih menyeluruh tentang rutin latihan, kualiti tidur, tahap tekanan, proses pemulihan dan aktiviti harian.
Semua data ini kemudiannya diterjemahkan kepada cadangan yang membantu pengguna merancang latihan dengan lebih bijak, sekali gus meningkatkan prestasi dalam jangka panjang.
Dari segi rekaan, Balance Ultra tampil lebih premium dengan binaan titanium Gred 5, sesuai digunakan sama ada ketika bersenam mahupun untuk kegunaan harian.

Sementara itu, Balance 3 pula disasarkan kepada pengguna aktif yang gemar melakukan pelbagai jenis latihan seperti gimnasium, larian dan senaman kecergasan hibrid. Ia turut hadir dengan pilihan binaan keluli tahan karat atau titanium.
Lebih menarik, demonstrasi kedua-dua model ini ketika majlis pelancarannya di The Backyard Training, Petaling Jaya, yang terkenal sebagai salah satu pusat latihan HYROX di Malaysia.
Pengamal media diberi peluang mencuba beberapa cabaran berinspirasikan HYROX sambil memakai Balance 3 atau Balance Ultra.
Melalui sesi ini, peserta dapat melihat sendiri bagaimana jam tangan tersebut merekodkan prestasi latihan, tahap pemulihan serta kesediaan badan untuk sesi latihan seterusnya.
Selain pelancaran produk, Amazfit turut mengumumkan penganjuran Bengkel HYROX Kelab Komuniti Amazfit MY yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Inisiatif ini dilihat sebagai usaha syarikat untuk mengembangkan lagi komuniti HYROX tempatan dengan menyediakan ruang kepada atlet baharu dan berpengalaman untuk berlatih serta berkongsi pengalaman.
Pengurus Pemasaran Amazfit Malaysia, Karmun Chow berkata, atlet dan individu aktif hari ini perlu mengimbangi latihan kekuatan, daya tahan, pemulihan serta komitmen harian.
“Oleh sebab itu, siri Balance dibangunkan bagi membantu pengguna memahami hubungan antara semua elemen tersebut supaya mereka dapat berlatih dengan lebih efisien dan mengurangkan risiko keletihan.
“Antara ciri yang paling menarik perhatian ialah HybridCharge Energy Intelligence, yang menggabungkan tiga metrik utama iaitu BioCharge, LifeLoad dan Training Load bagi memberikan gambaran menyeluruh tentang tahap tenaga serta kesediaan fizikal pengguna,” katanya.
Turut disertakan ialah fungsi Weekly Focus, Training Balance dan Hybrid Training Plans yang membantu pengguna mengimbangi latihan kekuatan, ketahanan dan pemulihan mengikut sasaran masing-masing.
Sebagai rakan kongsi rasmi peranti boleh pakai HYROX, kedua-dua model ini juga hadir dengan pelbagai fungsi khas untuk atlet HYROX seperti Virtual Pace, pelan latihan khusus, simulasi perlumbaan serta analisis terperinci selepas perlumbaan termasuk rentak, prestasi di setiap stesen dan jumlah masa perlumbaan.
Sementara itu, Atlet HYROX Pro dan Duta Amazfit, Mohd. Saddam Pittli, berkata pengurusan beban latihan dan pemulihan merupakan faktor penting dalam mencapai prestasi konsisten.
“Balance Ultra membantunya memahami tahap kesediaan badan dengan lebih jelas, sekali gus memudahkan beliau mengimbangi latihan intensif dan tempoh pemulihan bagi mengelakkan keletihan,” katanya.
Secara keseluruhannya, Amazfit bukan sekadar memperkenalkan jam pintar baharu, tetapi menawarkan satu ekosistem yang lebih menyeluruh untuk mereka yang aktif bersukan.
Dengan integrasi data latihan, pemulihan dan pemantauan kesihatan dalam satu platform, siri Balance dilihat mampu menjadi teman latihan yang praktikal untuk pengguna yang ingin meningkatkan prestasi secara lebih sistematik.-UTUSAN










