MPOB kekal unjuran harga sawit kepada RM4,000 hingga RM4,300 satu tan

MPOB kekal unjuran harga sawit kepada RM4,000 hingga RM4,300 satu tan

DATUK Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) bagi tahun ini kepada sekitar RM4,000 hingga RM4,300 satu tan, disokong oleh faktor geopolitik global, kekangan bekalan serta potensi gangguan pengeluaran akibat cuaca dan dasar biodiesel negara pengeluar utama.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, harga sawit ketika ini kekal kukuh pada paras sekitar RM4,000 hingga RM4,500 satu tan, dengan momentum pasaran dijangka berterusan hingga hujung tahun.

Ujarnya, ketegangan geopolitik termasuk di Selat Hormuz memberi kesan langsung kepada harga minyak mentah global, sekali gus turut menyokong harga minyak sayuran termasuk minyak sawit.

“Apabila harga petroleum meningkat, harga minyak sawit dan minyak sayuran lain turut naik kerana hubungan rapat dalam pasaran komoditi global,” katanya pada Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) MPOB 2026 di sini.

Menurut beliau, selain faktor geopolitik, gangguan bekalan turut dipengaruhi keadaan cuaca seperti fenomena El Nino yang boleh menjejaskan pendebungaan dan pengeluaran buah sawit dalam jangka panjang.

“Semasa El Nino besar 2015 dan 2016, pengeluaran sawit negara jatuh sekitar 18 peratus kepada 16.17 juta tan berbanding 19.96 juta tan sebelumnya,” katanya. 

Dalam masa sama, beliau berkata, dasar biodiesel Indonesia yang dijangka meningkat kepada B50 berpotensi mengurangkan bekalan eksport global sebanyak kira-kira tiga juta tan setahun, sekali gus mengekalkan harga minyak sawit pada paras tinggi.

“Apabila penggunaan domestik meningkat, bekalan untuk pasaran eksport akan berkurang dan ini memberi tekanan kepada pasaran global,” katanya.

Mengulas tahap kesediaan industri terhadap Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), beliau berkata, syarikat perladangan besar di Malaysia berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dengan sistem kebolehjejakan sudah pun dilaksanakan, manakala usaha sedang diperkukuh bagi membantu pekebun kecil.

Jelasnya, tahap kesediaan pekebun kecil di Semenanjung Malaysia kini melebihi 80 peratus, manakala Sabah sekitar 60 peratus dan Sarawak masih rendah disebabkan isu pemilikan tanah adat.

MPOB turut memperkenalkan beberapa sistem sokongan termasuk GeoSawit dan Sawit Intelligent Compliance (SIC) bagi memastikan rantaian bekalan memenuhi keperluan pasaran Eropah.

Dalam perkembangan biodiesel pula, beliau berkata, Malaysia ketika ini berada pada tahap mandatori B15, dengan pelaksanaan lebih tinggi bergantung kepada naik taraf infrastruktur depot pencampuran di seluruh negara.

“Sekiranya infrastruktur bersedia, kerajaan akan dapat mempertimbangkan langkah seterusnya ke arah campuran lebih tinggi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN