Industri sawit berjaya komersial 240 teknologi bernilai RM6 bilion

Industri sawit berjaya komersial 240 teknologi bernilai RM6 bilion

DATUK Seri Dr. Noraini Ahmad (tiga kanan) menunjukkan baja MPOB F7 ketika merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) (TOT MPOB 2026) di Ibu Pejabat MPOB Bangi di sini semalam.UTUSAN/ FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Industri sawit negara berjaya mengkomersialkan lebih 240 teknologi dengan potensi nilai pasaran melebihi RM6 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju teknologi sawit global.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pencapaian tersebut membuktikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB bukan sekadar tertumpu di peringkat makmal, sebaliknya berjaya diterjemahkan kepada aplikasi industri yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.

Katanya, teknologi yang dibangunkan merangkumi pelbagai bidang termasuk mekanisasi ladang, kecerdasan buatan (AI) dalam penuaian hasil, sistem penggredan tandan buah segar, teknologi baja baharu, serta inovasi produk polimer dan kimia berasaskan sawit.

“Pemindahan teknologi ini penting kerana ia memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan oleh industri, sekali gus meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor sawit negara,” katanya pada Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) MPOB 2026 di sini semalam.

Menurut beliau, pendekatan tersebut juga selari dengan hala tuju negara yang memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti berbanding perluasan kawasan tanaman, susulan had keluasan ladang sawit yang telah ditetapkan kerajaan.

Dalam masa sama, beliau berkata, penggunaan teknologi seperti bahan tanaman berprestasi tinggi melalui teknik kultur tisu (tissue culture) mampu meningkatkan hasil tandan buah segar serta kadar perahan minyak sawit.

“Selain itu, MPOB turut memperkenalkan inovasi formulasi baja baharu untuk anak pokok sawit di peringkat nurseri yang dijangka mengurangkan pembaziran baja serta meningkatkan keberkesanan pembajaan ladang.

“Teknologi ini amat relevan dalam keadaan kos input pertanian yang semakin meningkat, termasuk baja yang menjadi antara komponen utama kos pengeluaran.

“Industri sawit negara kini perlu bergerak ke arah penggunaan teknologi, data, mekanisasi dan amalan pertanian baik bagi memastikan kelestarian jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, MPOB turut menyasarkan peningkatan komersialisasi teknologi tempatan bagi memperkukuh rantaian nilai industri sawit, termasuk melalui kerjasama bersama penggiat industri, usahawan dan ahli akademik.

Pada majlis sama, Noraini turut menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPOB dengan MySpatial Sdn. Bhd. bagi teknologi Sawit Geo-Agro Solutions, Nanka Sdn. Bhd. bagi pengkomersilan Mayonis Vegan Berasaskan Sawit, serta HS Food Sdn. Bhd. bagi Tisu Adipos Analog Berasaskan Sawit.

Program TOT MPOB 2026 menghimpunkan lebih 500 peserta daripada kalangan penggiat industri, usahawan, penyelidik, pelabur serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

Program ini turut menampilkan sesi padanan perniagaan, demonstrasi teknologi, uji rasa produk berasaskan sawit serta taklimat peluang pembiayaan pengkomersialan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Program ini turut mendapat sokongan dewan perniagaan termasuk Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kelantan (DPMM Kelantan) dan Kuala Lumpur Malay Chamber of Commerce (KLMCC).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN