PETALING JAYA: Keputusan mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia terbukti menjadi langkah strategik bagi jenama kuih bakar tradisional, Dak Serul apabila status tersebut berjaya meningkatkan kepercayaan pengguna dan mempercepatkan pertumbuhan perniagaannya.
Pengarah Urusan MJ Nur Gemilang Enterprise, Asrul Effendi Abdul Aziz berkata, selepas memperoleh pensijilan halal pada 2022, produk Kuih Bakar Pandan dan Kuih Bakar Berlauk jenama itu menerima sambutan lebih memberangsangkan sehingga membolehkan syarikat mengembangkan operasi kepada dua cawangan.
Menurutnya, perkembangan itu membuktikan pensijilan halal bukan sekadar memenuhi tuntutan pasaran, malah menjadi nilai tambah yang mampu meningkatkan daya saing serta membuka peluang perniagaan lebih luas kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Selepas memperoleh sijil halal, sambutan pelanggan meningkat dengan ketara kerana mereka lebih yakin terhadap status halal dan kualiti produk yang kami tawarkan.
“Pensijilan ini turut membantu mengukuhkan kredibiliti syarikat dan membuka ruang untuk kami mengembangkan perniagaan ke tahap lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Syarikat itu beroperasi di Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka yang juga merupakan ibu pejabat dan kini mempunyai dua cawangan, masing-masing di Jalan Kasban, Meru, Klang, Selangor serta Wangsa Maju Seksyen 1, Kuala Lumpur.
Asrul berkata, langkah memiliki sijil itu diambil bagi meningkatkan keyakinan pengguna selain memastikan setiap proses pengeluaran mematuhi piawaian yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, proses mendapatkan pensijilan halal ini bukan sesuatu yang mudah kerana syarikat perlu memastikan dokumentasi lengkap serta setiap operasi pengeluaran memenuhi keperluan pensijilan.
“Cabaran utama adalah menyediakan dokumentasi yang lengkap dan memastikan semua proses operasi sentiasa mematuhi standard yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Namun, usaha itu sangat berbaloi kerana manfaat yang diterima selepas memperoleh pensijilan halal jauh lebih besar berbanding cabaran yang dihadapi,” ujarnya.
Beliau berkata, status halal kini menjadi antara faktor penting yang mempengaruhi keputusan pembelian pengguna, sekali gus menjadikan pensijilan tersebut sebagai satu kelebihan kompetitif kepada syarikat. – UTUSAN










