Sektor tenaga Malaysia di landasan capai sasaran RE 

Sektor tenaga Malaysia di landasan capai sasaran RE 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd mengekalkan prospek positif terhadap sektor tenaga Malaysia susulan momentum peralihan tenaga negara yang semakin kukuh.

Agensi penarafan itu berkata, aspirasi sifar bersih negara terus disokong oleh rangka kerja kawal selia yang mantap menerusi  Pelan Peralihan Tenaga Boleh Baharu (NETR) dan pelan hala tuju tenaga di peringkat negeri.

Naib Presiden Kanan Penarafan Infrastruktur dan Utiliti RAM Ratings, Chong Van Nee berkata, setakat akhir Disember 2025, tenaga boleh diperbaharui (RE) merangkumi kapasiti sebanyak 12 gigawatt (GW) atau 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang negara.

Katanya, perkembangan itu meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk mencapai sasaran interim 40 peratus kapasiti RE menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.

“Kemajuan yang mampan bergantung kepada kesinambungan dasar, pelaksanaan yang berdisiplin, penyelarasan berkesan antara pihak berkepentingan serta akses berterusan kepada pembiayaan jangka panjang, ” katanya dalam ulasan khas bertajuk Power Insight: Advancing Sustainable Energy Transition (memacu peralihan tenaga mampan).

Beliau berkata, sektor RE Malaysia berkembang pesat didorong oleh penambahan kapasiti solar fotovolta utiliti berskala besar serta pelaksanaan awal sistem penyimpanan tenaga bateri berskala grid.

Katanya, langkah itu penting bagi menangani isu intermittensi bekalan dan mengukuhkan kestabilan sistem grid nasional.

Tambah beliau, loji jana kuasa baharu berasaskan gas dijangka menyediakan kapasiti stabil apabila loji jana kuasa arang batu dihentikan secara berperingkat.

“Pada masa sama, kajian kebolehlaksanaan sumber tenaga rendah karbon baharu termasuk tenaga nuklear mampu mempelbagaikan campuran penjanaan tenaga negara.

“Dalam konteks ini, saluran projek kukuh melibatkan kira-kira 20 GW kapasiti loji jana kuasa baharu dijadual mula beroperasi di seluruh negara menjelang 2030,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Chong berkata, pasaran modal hutang Malaysia berada pada kedudukan baik untuk membiayai pengembangan kapasiti RE serta naik taraf grid tenaga.

Menurut beliau, sektor tenaga berjaya mengumpul RM9.2 bilion menerusi bon dan sukuk hijau, sosial, kelestarian dan berkaitan kelestarian (GSS+) sepanjang 2025.

Katanya, jumlah itu menjadikan keseluruhan terbitan tertunggak meningkat kepada RM20.9 bilion setakat akhir Disember 2025.

“Kami menjangkakan penyertaan kukuh daripada segmen RE dalam pembiayaan hutang apabila projek utiliti berskala besar terus berkembang dan momentum pelaburan meningkat.

“Dengan kedalaman pasaran dan keluk hasil yang mantap, pasaran bon Malaysia amat sesuai untuk membiayai aset infrastruktur jangka panjang serta projek berintensif modal tinggi dalam sektor tenaga,” ujarnya.

RAM Ratings turut memaklumkan portfolio penarafan sektor tenaga di bawah liputannya melibatkan pelbagai utiliti dan entiti pembiayaan projek kekal stabil setakat ini.

“Sehingga awal Mei 2026, sebanyak 87 peratus daripada portfolio tertunggak membawa penarafan AA3 atau lebih tinggi, mencerminkan keupayaan kukuh dalam memenuhi obligasi pembayaran hutang,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN