KUALA LUMPUR: Jenama restoran dim sum terkemuka, Samtai Yamch’a menyifatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bukan sekadar satu borang pematuhan, malah merupakan pemacu utama yang berjaya menggandakan keuntungan dan saiz pasaran syarikat.
Langkah strategik tersebut membuktikan komitmen jenama berkenaan dalam menyediakan hidangan premium berasaskan konsep makanan Cina halal yang inklusif, sekali gus mengubah persepsi awal pelanggan di negara ini.
Pengurus Pematuhan Halal Samtai Yamch’a, Hani Omas berkata, idea asal penubuhan premis itu bermula pada tahun 2017 bagi mewujudkan persekitaran santai untuk pelanggan berehat sambil menikmati hidangan dim sum buatan tangan (handmade) bersama teh premium.
“Pilihan makanan Cina halal terutamanya dim sum masih sangat terhad di Malaysia. Disebabkan nama ‘Yamch’a’ sering dikaitkan dengan kedai Cina tradisional, persepsi awal masyarakat menyaksikan sekitar 80 peratus pelanggan kami terdiri daripada golongan bukan Muslim, manakala hanya 20 peratus pelanggan Muslim yang berani mencuba disebabkan faktor keraguan terhadap status halal.
“Oleh itu, kami menyedari bahawa pensijilan halal amat penting bagi memberi jaminan dan keyakinan kepada pelanggan, sekali gus mendorong kami mempercepatkan proses pendaftaran dengan Jakim. Walau bagaimanapun, permohonan untuk cawangan di KLIA 2 terpaksa dihentikan pada tahun 2019 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.
“Selepas tamat gelombang PKP kedua, kami bangkit membina semula dan memulakan permohonan baharu di cawangan 1 Utama. Kini, kesemua tujuh cawangan Samtai Yamch’a di Lembah Klang dan kawasan sekitar termasuk di Genting Highlands, Seremban 2, Bukit Tinggi, Permaisuri dan TRX telah berjaya memperoleh pensijilan halal sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut Hani, impak pasca-perolehan sijil halal amat luar biasa apabila demografi pelanggan berubah menjadi lebih seimbang iaitu merangkumi 50 peratus pelanggan Muslim, 30 peratus bukan Muslim, manakala bakinya melibatkan pelancong asing.
Mengulas mengenai cabaran sepanjang proses permohonan, Hani tidak menafikan aspek pengurusan dokumentasi dan penapisan pembekal yang ketat menjadi ujian utama syarikat.
“Cabaran terbesar kami adalah memastikan konsistensi pematuhan ramuan agar sentiasa selaras dengan rekod dalam sistem MYeHALAL. Selain itu, memandangkan kesukaran mendapatkan tenaga kerja tempatan, kami perlu memberikan latihan kesedaran halal dan standard kebersihan yang lebih intensif kepada pekerja asing walaupun mereka beragama Islam, kerana pemahaman budaya kebersihan yang berbeza.
“Proses audit Jakim juga melibatkan beberapa peringkat semakan dokumen sebelum audit fizikal mengejut dilakukan di premis. Namun, pihak Jakim sebenarnya sangat menyokong dan sedia membantu sekiranya pihak pengurusan menunjukkan komitmen serta ketelusan yang tinggi tanpa menyembunyikan sebarang proses yang mencurigakan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Pengurus Operasi Samtai Yamch’a, Farid Hamidin berkata, penekanan terhadap kualiti merupakan prinsip yang tidak boleh dikompromi oleh pihak syarikat.
“Dim sum kami dihasilkan secara tradisional menggunakan kepakaran chef dan bukannya mesin. Ramuan yang digunakan juga adalah daripada gred premium, seperti sayur-sayuran organik serta bekalan ayam dan udang segar tanpa menggunakan bahan sejuk beku.
“Untuk mengekalkan integriti ini, setiap cawangan dikawal ketat melalui pelaksanaan Halal Assurance System (HAS) yang mengandungi prosedur operasi standard (SOP) menyeluruh bermula daripada fasa penerimaan bahan mentah, rantaian bekalan, kaedah penyimpanan, sehingga kepada pengendalian hidangan di premis,” katanya.
Mengulas lanjut, Farid turut member nasihat kepada usahawan industri makanan dan minuman (F&B) tempatan agar membina sistem kawalan halal sejak hari pertama perniagaan beroperasi tanpa perlu menunggu model perniagaan berkembang besar.
“Halal ini bukan sekadar sekeping sijil untuk tujuan pemasaran semata-mata, sebaliknya ia merupakan satu amanah besar yang digalas oleh pengusaha kepada semua pelanggan, termasuk golongan bukan Muslim yang kini rata-rata sudah memahami nilai kebersihan di sebalik konsep halal.
“Usahawan dinasihatkan untuk melantik seorang Eksekutif Halal yang kompeten bagi menguruskan dokumentasi secara berterusan. Apabila asas sistem rantaian bekalan dan SOP kebersihan telah kukuh dari awal, proses audit akan menjadi jauh lebih mudah, sekali gus membuka pintu pasaran yang lebih luas termasuk pasaran pelancongan antarabangsa,” katanya. -UTUSAN










