PETALING JAYA: Chocsvalley Chocolate Sdn. Bhd. (Chocsvalley) mengorak langkah untuk menembusi pasaran luar negara termasuk Singapura dan China yang mempunyai permintaan tinggi terhadap produk halal.
Pengarahnya, Siti Nurdiana Mohd Khir berkata, jenama yang mula beroperasi sejak 2013 itu kini berada pada fasa pengukuhan selepas berjaya memperbaharui sijil halal mereka pada tahun 2025.
Katanya, pemilikan sijil halal bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, malah menjadi pemacu strategik dalam usaha mereka memartabatkan coklat tempatan ke persada antarabangsa.
“Sekarang, dengan adanya sijil halal, kami mempunyai ‘pasport’ untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran Singapura dan China.
“Ini adalah perancangan utama kami untuk membuktikan bahawa produk coklat buatan Malaysia mampu bersaing di peringkat global dari segi kualiti dan integriti halalnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengimbas sejarah awal, Chocsvalley bermula daripada ilham Pengasasnya, Siti Noraizah yang membuka kedai coklat NS Galleria Chocolate World di Muzium Negeri Sembilan.
“Demi menghasilkan produk yang setanding jenama antarabangsa, pengasas kami sanggup menimba ilmu sehingga ke Belgium dan Perancis, selain menyertai pelbagai kelas profesional bagi membentuk identiti produk Chocsvalley yang ada sekarang,” katanya.
Mengulas mengenai proses mendapatkan sijil halal, Siti Nurdiana berkata, cabaran utama bukan terletak pada kesukaran prosedur, tetapi komitmen untuk membina ekosistem halal yang menyeluruh dalam operasi harian.
Menurut beliau, setiap aspek daripada dokumentasi, pelabelan bahan mentah, sehinggalah kepada aliran kerja di kilang perlu diselaraskan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Sijil halal memberi keyakinan mutlak kepada pengguna bahawa produk kami bukan sahaja menggunakan bahan yang dibenarkan, malah diproses dalam persekitaran yang sangat bersih.
“Ini sangat penting kerana banyak produk coklat import tidak mempunyai status halal yang jelas.
“Jadi, dengan adanya sijil ini, kita dapat menarik minat pelanggan serta mengharumkan nama coklat tempatan,” katanya.
Impak perolehan sijil tersebut mula dirasai apabila Chocsvalley kini lebih dipercayai oleh rakan strategik dan pelanggan, selain membolehkan proses pengeluaran berjalan lebih lancar melalui sistem pematuhan yang sistematik.
Namun, Siti Nurdiana mengakui bahawa mengekalkan status halal menuntut disiplin yang tinggi, terutama dalam memastikan setiap kakitangan sentiasa mengamalkan sistem halal secara konsisten dan memantau rantaian bekalan bahan mentah. – UTUSAN










