BNM denda Zurich RM1.56j, gagal pematuhan sekatan kewangan

BNM denda Zurich RM1.56j, gagal pematuhan sekatan kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti monetari pentadbiran berjumlah RM1.56 juta ke atas dua entiti Zurich di Malaysia susulan pelanggaran keperluan sekatan kewangan disasarkan (TFS).

Dalam tindakan penguatkuasaan yang diumumkan, Zurich General Insurance Malaysia Bhd (ZGIMB) dikenakan denda sebanyak RM1.04 juta, manakala, Zurich General Takaful Malaysia Bhd (ZGTMB) didenda RM520,000.

BNM berkata, sebagai institusi pelapor, kedua-dua entiti tersebut diwajibkan mengemas kini pangkalan data sekatan dengan segera selepas penerbitan Senarai Domestik. 

Katanya, kegagalan berbuat demikian menyebabkan proses saringan pelanggan dijalankan menggunakan maklumat yang lapuk.

“Semua institusi pelapor mesti mematuhi keperluan TFS dan BNM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan terhadap pihak yang gagal memenuhi kewajipan peraturan,” katanya dalam kenyataan.

Siasatan mendapati Zurich telah menerima beberapa entiti yang tersenarai dalam senarai domestik sebagai pelanggan, selain gagal mengenal pasti padanan potensi serta tidak menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan kesahihan padanan tersebut.

Lebih serius, ZGIMB turut didapati gagal membekukan dana dan melaporkan kepada pihak berkuasa dengan segera selepas mengenal pasti dana yang berkait dengan entiti yang disekat.

BNM berkata, kelemahan ini berpunca daripada jurang dalam sistem saringan sekatan, prosedur operasi standard yang tidak mencukupi, serta tahap pengawasan dan kesedaran kakitangan yang lemah.

Sebagai langkah pemulihan, Zurich telah mempertingkatkan prosedur dalaman dan melaksanakan latihan semula kepada kakitangan bagi mengukuhkan pematuhan terhadap keperluan TFS.

Dalam menentukan jumlah penalti, BNM mengambil kira tahap keseriusan pelanggaran, kekurangan langkah penjagaan sewajarnya, rekod pematuhan terdahulu, serta keberkesanan tindakan pembetulan yang diambil selepas pelanggaran.

Kedua-dua entiti Zurich dilaporkan telah menjelaskan bayaran penalti masing-masing pada 26 Januari lalu.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN