Allianz sedia perlindungan menyeluruh untuk majikan, pembantu rumah

Allianz sedia perlindungan menyeluruh untuk majikan, pembantu rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad menyediakan perlindungan menyeluruh kepada majikan dan pembantu rumah menerusi pelan Allianz Domestic Helper Shield.

Ini merupakan satu penyelesaian insurans menyeluruh yang direka bagi menjaga kebajikan pembantu rumah serta membantu majikan menghadapi perbelanjaan tidak dijangka.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General, Sean Wang berkata, syarikat itu mengiktiraf peranan penting pembantu rumah dalam menyokong isi rumah dan keluarga. 

Katanya, pelan Allianz Domestic Helper Shield dibangunkan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan golongan tersebut, di samping memberikan ketenangan fikiran kepada majikan dalam mengurus risiko kewangan.

“Dalam suasana ekonomi yang mencabar, kos pengurusan isi rumah semakin meningkat, khususnya bagi majikan yang menggaji pembantu rumah. 

“Perbelanjaan seperti gaji, rawatan perubatan serta risiko kejadian tidak dijangka seperti kemalangan atau kehilangan dokumen penting boleh memberi tekanan kewangan,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, jelasnya, Allianz Domestic Helper Shield menawarkan tiga pelan mampu milik dengan premium bermula serendah RM50 setahun. 

“Selain itu, pelan dua tahun turut disediakan dengan pilihan penjimatan kos bermula sekitar RM90, tidak termasuk cukai perkhidmatan.

“Antara manfaat utama pelan ini termasuk perlindungan bagi perbelanjaan perubatan, kos penghospitalan dan pembedahan. Ia juga merangkumi perbelanjaan repatriasi, yuran ambulans serta pampasan gaji sepanjang tempoh pembantu rumah tidak dapat bekerja akibat penyakit atau kecederaan,” katanya.

Tambahan pula, pelan ini menyediakan bayaran balik untuk kos penggantian dokumen yang hilang atau rosak, pengambilan pembantu ganti serta tuntutan liabiliti peribadi.

Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan Allianz General dalam menawarkan produk insurans yang relevan dan responsif terhadap keperluan semasa pengguna di Malaysia.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN