TechStore terima kontrak RM12.97 juta dari Jabatan Kastam

TechStore terima kontrak RM12.97 juta dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TechStore Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Tech-Store Malaysia Sdn. Bhd. (TSM) menerima surat anugerah (LOA) daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi pelaksanaan projek pembekalan satu unit mesin pengimbas mobile cargo bernilai kira-kira RM12.97 juta.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, TechStore berkata, kontrak bertajuk tender perkhidmatan sewa beli bagi membekal, menghantar, memasang, menguji, mentauliah, melatih dan menyelenggara termasuk alat ganti serta kerja-kerja berkaitan satu unit mesin itu.

Katanya, tempoh kontrak adalah selama 72 bulan bermula 1 Mac 2026 dan skop kerja merangkumi pembekalan, pemasangan, pengujian, pentauliahan, latihan serta penyelenggaraan termasuk alat ganti sepanjang tempoh perkhidmatan.

“TSM merupakan syarikat yang terlibat dalam pengedaran serta penyediaan perkhidmatan kontrak projek profesional berkaitan perisian dan perkakasan bagi produk keselamatan serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

“Pihak lembaga pengarah berpandangan bahawa penganugerahan kontrak ini mencerminkan keupayaan dan kepakaran teknikal TSM dalam melaksanakan projek keselamatan berimpak tinggi, khususnya dalam menyokong keperluan agensi penguatkuasaan negara,” katanya.

Dari segi kewangan, syarikat berkata, kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan prestasi kewangan TechStore bagi tempoh kontrak, tanpa memberi kesan terhadap modal saham atau pegangan saham pemegang saham utama syarikat.

“Tiada pengarah, pemegang saham utama atau mana-mana pihak berkaitan mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut,” ujarnya.

Lembaga pengarah menyatakan bahawa kontrak ini dimeterai dalam perjalanan biasa perniagaan dan adalah demi kepentingan terbaik TechStore dan kumpulannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×