MIFB 2026 pacu pertumbuhan baharu ekosistem F&B

MIFB 2026 pacu pertumbuhan baharu ekosistem F&B

BRUNO THONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH: 

DALAM persekitaran pasaran yang semakin kompetitif dan dinamik, keupayaan untuk menggabungkan ketelusan produk, penggunaan teknologi serta kesediaan eksport serantau akan menjadi faktor perbezaan utama dalam ekosistem makanan dan minuman (F&B).

Sehubungan itu, platform seperti Malaysia International Food & Beverage Trade Fair (MIFB) terus memainkan peranan penting dalam menghubungkan pemain industri, mempercepat adaptasi teknologi dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem F&B serantau.

Wartawan Utusan Malaysia, HENDRA WINARNO berpeluang menemu ramah Pengarah Portfolio Constellar Malaysia, BRUNO THONG untuk berkongsi lebih lanjut berkenaan topik ini. 

UTUSAN: Daripada perspektif anda, apakah perubahan paling signifikan yang sedang membentuk industri F&B di Malaysia dan rantau ini dan bagaimana perniagaan harus bersedia untuk fasa seterusnya?

BRUNO THONG: Industri F&B kini bergerak dalam tiga arah utama. Pertama, corak penggunaan semakin berubah. Urbanisasi, saiz isi rumah yang lebih kecil dan waktu kerja yang lebih panjang telah mengurangkan amalan memasak di rumah serta meningkatkan permintaan terhadap format makanan yang lebih mudah dan konsisten. 

Perubahan ini memacu pertumbuhan berterusan produk sedia dimakan, sedia dimasak dan sedia diminum pada kadar purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) 7.7 perubahan bagi tempoh 2025 hingga 2032, di samping penawaran berteraskan fungsi dan kesihatan pada CAGR 6.9 peratus.

Pada masa sama, rakyat Malaysia semakin peka terhadap kesihatan, membentuk tabiat pemakanan yang lebih sihat serta menjadi pengguna yang lebih bermaklumat dan selektif. Ketelusan ramuan, maklumat nutrisi, deklarasi alergen dan kaedah pengeluaran kini mempengaruhi keputusan pembelian serta tahap kepercayaan terhadap jenama. 

Justeru, industri beralih ke huluan, daripada strategi berasaskan pemasaran kepada penekanan lebih kukuh terhadap formulasi produk, piawaian pemprosesan, kebolehkesanan dan pematuhan.

Kedua, rantaian bekalan sedang disusun semula. Tekanan tarif dan ketegangan geopolitik berterusan antara AS dan China mempercepatkan peralihan ke ASEAN sebagai hab pembuatan dan sumber F&B serantau. 

Pengeluar F&B semakin menggunakan Asia Tenggara sebagai pangkalan pemerolehan bahan dan pemprosesan serantau, termasuk bekerjasama dengan pengeluar bersama tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu negara, mengurus turun naik kos dan mengukuhkan kebolehpercayaan bekalan.

Perubahan ini amat penting bagi sektor F&B, di mana kestabilan input, pematuhan peraturan, dan logistik sensitif masa adalah kritikal. 

Ketiga, pematuhan dan pembezaan khususnya dalam jaminan halal kini menjadi pemacu pertumbuhan. 

Pensijilan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diiktiraf global menyediakan laluan dipercayai ke pasaran majoriti Muslim dan sensitif halal di ASEAN, Asia Barat dan seterusnya. 

Disokong ekosistem matang, termasuk taman industri halal, pengeluar bertauliah, platform eksport, serta agensi seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), perniagaan boleh mempercepat pensijilan, penskalaan, dan akses pasaran.

Bagi menghadapi fasa seterusnya, perniagaan F&B perlu menumpukan kepada pemendekan laluan daripada konsep produk ke pengeluaran berskala, melabur secara selektif dalam automasi dan teknologi makanan, serta mereka produk dengan ketelusan, jaminan halal, dan kesediaan eksport serantau sejak awal.

Bagaimana MIFB berkembang daripada pameran perdagangan tradisional kepada platform yang memacu pembelajaran industri, kerjasama dan pertumbuhan jangka panjang?

MIFB telah berkembang secara strategik daripada acara hibrid perdagangan-pengguna kepada platform berfokuskan perdagangan yang menyokong pertumbuhan perniagaan berskala dan mampan. Pasca pandemik, MIFB menilai semula model transaksi kaunter dan menyelaraskan hala tuju dengan aspirasi Malaysia sebagai hab F&B serantau.

Hari ini, MIFB menjadi platform utama dalam memperkukuh ekosistem F&B ASEAN. Ia menyokong agenda keselamatan makanan, memudah cara perbincangan mengenai kitaran makanan, serta menyediakan pandangan tentang trend baharu.

Seiring momentum teknologi makanan, MIFB memperluas capaian melalui MyFoodTech,  platform khusus yang menghubungkan inovator kecerdasan buatan (AI), penyedia teknologi dan pakar rantaian bekalan dengan pemain industri. 

Selain itu, Malaysia Café Expo diperkenalkan pada 2025, termasuk penganjuran Kejohanan Kopi Kebangsaan Malaysia.

Inovasi dan teknologi semakin kritikal dalam F&B. Jadi, bagaimana MIFB 2026 mencerminkan perubahan ini?

Inovasi dan teknologi telah lama menjadi teras MIFB. Pada MIFB 2026, Malaysia Food Technology Trade Fair (MYFT) terus memainkan peranan penting sebagai platform utama inovasi teknologi makanan. 

MYFT menampilkan penyelesaian dapur pintar, pembungkusan mampan, automasi pemprosesan dan teknologi rantaian bekalan.

MIFB 2026 memperkukuh peranan ini melalui sesi padanan perniagaan, demonstrasi langsung, dan pengalaman praktikal, membolehkan perniagaan mengakses teknologi terkini dan membina kerjasama strategik.

Mengapa pendedahan antarabangsa penting bagi jenama F&B Malaysia hari ini?

Pendedahan antarabangsa membolehkan jenama Malaysia menanda aras daya saing, memahami keperluan pembeli, dan menyelaraskan piawaian eksport lebih awal. 

Di MIFB, perusahan kecil dan sederhana (PKS) tempatan beroperasi bersama pemain global, memperoleh maklum balas pasaran sebenar dan membina rangkaian serantau. MIFB juga memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal global, menghubungkan jenama dengan rakan strategik untuk pematuhan, kredibiliti dan kemasukan pasaran.

Apakah impak yang diharapkan daripada MIFB 2026 terhadap industri?

Matlamat MIFB 2026 ialah memperkasa pertumbuhan, mengukuhkan Malaysia sebagai hab perdagangan F&B serantau, serta membantu perniagaan tempatan berkembang dan menarik penyertaan antarabangsa.

Dalam ekonomi yang didominasi MSME, MIFB memainkan peranan penting dalam memperkasa inovasi, penskalaan dan peluasan pasaran. Dengan menggabungkan keupayaan tempatan dan pemain global, MIFB menyokong kedudukan Malaysia sebagai gerbang praktikal bagi pembuatan makanan, perdagangan halal dan akses pasaran serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN