XPENG sasar pertumbuhan kukuh lepas jual 1,600 unit

XPENG sasar pertumbuhan kukuh lepas jual 1,600 unit

FRANCIS Lee (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran XPENG G6 yang diadakan pada Oktober tahun lalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama kenderaan elektrik (EV) premium, XPENG optimis untuk mencatat pertumbuhan jualan yang lebih kukuh di Malaysia tahun ini selepas merekodkan hampir 1,600 unit pendaftaran sepanjang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto Berhad, Datuk Seri Francis Lee berkata, prestasi itu adalah petunjuk positif terhadap penerimaan pasaran tempatan terhadap kenderaan elektrik berteknologi tinggi, sekali gus menjadi asas kepada strategi pengukuhan jenama bagi 2026.

“Sasaran tahun ini dibina berlandaskan pengalaman serta pembelajaran yang diperoleh sepanjang beberapa tahun kebelakangan dalam mengurus jenama EV dalam pasaran yang pantas berubah.

“Momentum yang dibina sebelum ini memberi keyakinan kepada kami untuk memacu pertumbuhan yang lebih mampan, selari dengan perkembangan ekosistem EV tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, antara faktor utama yang menyokong jangkaan pertumbuhan tersebut ialah pemahaman pasaran yang semakin mendalam, kedudukan jenama yang kian kukuh serta penekanan berterusan terhadap teknologi canggih dan kekuatan produk XPENG.

“Selain itu, syarikat turut memberi tumpuan kepada pengembangan rangkaian pengedar, penambahbaikan pengalaman pelanggan serta peluasan capaian jenama di seluruh negara.

“Langkah ini dilihat penting bagi mengukuhkan kedudukan XPENG sebagai jenama EV premium pilihan pengguna Malaysia, di samping memperjelas keunikan nilai tawaran produknya kepada pasaran.

“Selain itu, gabungan strategi pengedaran, perkhidmatan dan komunikasi jenama ini dijangka menyokong pertumbuhan jualan yang lebih stabil dalam persekitaran industri yang semakin kompetitif,” ujarnya.

Bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran, XPENG merangka beberapa perancangan strategik sepanjang 2026, termasuk memperkukuh kehadiran jenama, mengembangkan rangkaian pengedar serta mempertingkat kesiapsiagaan operasi.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan jenama kami kekal relevan dan kompetitif ketika pasaran EV Malaysia bergerak ke fasa pertumbuhan seterusnya.

“Fokus kami bukan sahaja pada prestasi jangka pendek, tetapi juga membina asas kukuh untuk daya saing jangka panjang dalam landskap EV yang semakin matang,” katanya.

Mengulas prospek industri EV tahun ini, beliau berkata, 2026 merupakan tempoh yang unik dan bersifat peralihan, selari dengan pandangan kebanyakan pemain industri lain.

“Situasi ini dipengaruhi oleh tamatnya beberapa insentif cukai sebelum ini serta peningkatan penekanan terhadap pemasangan tempatan bagi memastikan daya saing harga jangka panjang.

“Suku pertama 2026 dilihat sebagai tempoh kritikal kerana prestasi awal tahun berpotensi menentukan kedudukan sesuatu jenama bagi baki tahun itu.

“Bagaimanapun, pelaksanaan strategi dan daya saing produk kekal sebagai penentu utama.

“Ini walaupun faktor jangka pendek seperti dinamik inventori kenderaan elektrik muatan hadapan serta penangguhan semakan nilai pasaran terbuka (OMV) dijangka memberi sedikit sokongan kepada permintaan kenderaan bukan nasional pada separuh pertama tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN