KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] melancarkan Jana MyPesara dengan menyasarkan seramai 3,000 pesara untuk fasa permulaan bertujuan membantu pesara menjalankan aktiviti menjana pendapatan serta mengukuhkan daya tahan kewangan mereka semasa persaraan.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah pembiayaan yang boleh dipohon oleh pesara bermula serendah RM1,000 sehingga maksimum RM30,000.
Katanya, cabaran utama pesara lazimnya ialah kesukaran mendapatkan pinjaman kerana ketiadaan pendapatan tetap bulanan yang boleh dinilai institusi kewangan, selain faktor umur.
“Melalui program ini, kita membuka laluan baharu bagi membantu pesara mendapatkan sokongan kewangan.
“Namun begitu, pemohon perlu berbincang dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) serta mengemukakan model perniagaan yang jelas.
“Kerjasama dengan AIM amat penting memandangkan agensi itu berpengalaman luas dalam pembiayaan mikro serta menyediakan bimbingan seperti mentoring dan sokongan perniagaan.
“Pendekatan ini bukan sekadar memberi pinjaman, tetapi turut memastikan usaha pesara mempunyai peluang kejayaan yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Peluncuran Jana MyPesara di sini, semalam.
Amir Hamzah berkata, Program Pembiayaan Mikro untuk Menyokong Pesara Sektor Awam yang diperuntukkan sebanyak RM20 juta di bawah Belanjawan 2026 itu menandakan satu anjakan strategik ke arah pengukuhan jaringan keselamatan sosial yang lebih berdaya tahan untuk para pesara.
“Seiring dengan penuaan penduduk Malaysia, inisiatif ini mengambil pendekatan seluruh negara dengan memanfaatkan kestabilan ekonomi.
“Ia turut merangkumi kerjasama erat antara agensi kerajaan dan rakan pelaksana sektor swasta bagi memastikan sokongan yang disediakan adalah bersasar dan mampan,” jelasnya.
Jana MyPesara mencerminkan komitmen kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI untuk menggalakkan pertumbuhan inklusif serta usaha menaikkan lantai.
Ia membolehkan para pesara menceburi aktiviti penjanaan pendapatan dan terus terlibat secara bermakna dalam kegiatan ekonomi, sekali gus memperkukuh daya tahan kewangan mereka dalam tempoh persaraan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, pesara sektor awam telah menyumbang khidmat bakti yang amat besar kepada negara dan ramai dalam kalangan mereka masih berhasrat untuk terus aktif dan berdikari serta terus terlibat secara langsung dalam kegiatan ekonomi.
“Namun, bagi sesetengah pihak, cabaran utamanya bukan pada motivasi, sebaliknya kesukaran mendapatkan pembiayaan serta sokongan yang bersesuaian.
“Jana MyPesara membantu menangani jurang ini, berteraskan disiplin serta tadbir urus yang kukuh,” ujarnya.
AIM yang merupakan rakan pelaksanaan program ini adalah sebuah badan amanah yang diperbadankan di bawah Akta Pemegang Amanah 1952.
Melalui Program Jana MyPesara, AIM akan menguruskan penyaluran pembiayaan mikro kepada pesara yang layak, berpandukan proses sedia ada yang ditetapkan seperti latihan berstruktur, bimbingan dan pemantauan berkala, sistem Sahabat yang diiktiraf luas serta pendekatan pembiayaan secara berkumpulan.
AIM memastikan program itu dapat dilaksanakan secara cekap, di samping memberi panduan rapi kepada peserta sepanjang perjalanan keusahawanan mereka serta membantu menjana pendapatan mampan dalam fasa persaraan. – UTUSAN










