KUALA LUMPUR: Pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjadi aset penting yang membuka ruang kepada produk sambal jenama EnakDeya (dahulu dikenali sebagai Sambal Bali: Pes Cili Matah) meneroka pasaran luar negara.
Pengasasnya, Jon Kin Chew berkata, sijil halal Malaysia sangat dihormati di peringkat antarabangsa, sekali gus memberi kelebihan kepada produk tempatan untuk diterima di pasaran luar.
“Kalau saya mahu mengeksport ke Singapura atau negara ASEAN lain, peluang diterima jauh lebih tinggi sebab sijil halal Malaysia diiktiraf antarabangsa
“Memiliki sijil halal bukan sekadar tiket pemasaran bagi usahawan bukan Islam, sebaliknya menjadi pasport penting untuk memperkukuh keyakinan pengguna dan membuka ruang ke pasaran antarabangsa.
“Kami optimis untuk menembusi pasaran Singapura dalam tempoh tiga tahun akan datang, namun buat masa ini tumpuan utama EnakDeya masih terarah kepada pasaran tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jon berkata, pengiktirafan halal menjadi langkah strategik yang melonjakkan jenamanya daripada sekadar produk restoran kepada barisan makanan siap sedia untuk pasaran lebih luas.
“Saya bukan Islam, tapi saya mahu produk yang dikeluarkan relevan kepada semua rakyat Malaysia dan ia penting supaya orang Islam pun boleh rasa produk kami tanpa ragu
“Kelebihan sijil halal ini besar. Ia bukan sahaja membuka pintu kepada pelanggan baharu, malah memberi keyakinan kepada rakan niaga serta peluang menyertai ekspo makanan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, matlamat utama bukan hanya untuk menembusi segmen pengguna Islam, tetapi bagi membina kepercayaan menyeluruh terhadap produk tempatan.
“Saya mahu cipta sambal yang boleh dinikmati semua kaum. EnakDeya membawa makna kesedapan yang boleh dikongsi oleh semua bangsa iaitu Melayu, Cina, India mahupun bangsa lain,” katanya.
Sementara itu, nama EnakDeya dipilih kerana mudah disebut dan difahami oleh semua kaum.
“Enak bermaksud sedap, manakala Deya bermaksud ini. Bila digabungkan, ‘EnakDeya’ membawa maksud ‘Ini sedap!’, nama yang pendek, relevan dan mudah diingat,” jelasnya.
Sebagai pengusaha kecil yang baru bertapak, Jon turut berkongsi cabaran awal dalam usaha mendapatkan pengesahan halal daripada Jakim.
Katanya, proses itu memerlukan pemahaman menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta keperluan bahan mentah yang diluluskan.
“Saya pernah rujuk terus kepada pengilang pengeluar peralatan asal (OEM) yang sudah mempunyai pensijilan halal. Dari situ saya belajar tentang bahan, cara penyediaan dan pengurusan tempat pengeluaran yang menepati garis panduan halal.
“Langkah ini juga bukan sahaja menjamin pematuhan halal, malah membantu menstandarkan kualiti sambal yang dihasilkan,” katanya. – UTUSAN









