Fleksibiliti kerja dari rumah, hibrid jadi pilihan

Fleksibiliti kerja dari rumah, hibrid jadi pilihan

BEKERJA dari rumah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENERIMAAN budaya Bekerja Dari Rumah (BDR) semakin meluas dalam kebanyakan majikan, khususnya melalui pendekatan hibrid yang menggabungkan kehadiran di pejabat dan kerja jarak jauh mengikut keperluan operasi serta jenis tugasan.

Budaya BDR juga kini diterima sebagai elemen penting dalam ekosistem kerja moden kerana menawarkan fleksibiliti dan keseimbangan kerjaya serta kehidupan peribadi. 

Namun begitu, budaya bekerja dari rumah ini sepenuhnya tidak semestinya menjadi pilihan tunggal kerana model hibrid dianggap lebih tepat untuk menyeimbangkan tuntutan profesional dan kehidupan peribadi, sekali gus mengekalkan produktiviti dan motivasi pekerja.

Pekerja swasta, Nandaprian Rajasekaran berkata, sistem kerja hibrid merupakan pendekatan paling praktikal memandangkan tidak semua tugas sesuai dilaksanakan sepenuhnya dari rumah.

“Sesetengah pekerja perlu berada di tapak kerja dan perlu berinteraksi dengan rakan se­kerja yang bekerja dari rumah. 

“Melalui sistem hibrid, kedua-dua pihak lebih memahami cabaran kerja masing-masing dan ini dapat meningkatkan produktiviti,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Nandaprian yang kini bekerja sepenuhnya dari rumah mengakui lebih mudah menyesuaikan diri kerana sebelum ini mengikuti pengajian secara hibrid, sekali gus menjadikan tugasan berasaskan pembelajaran jarak jauh tidak janggal.

Katanya, BDR turut mengurangkan tekanan perjalanan harian susulan kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing, selain membantu meningkatkan tumpuan kerja.

Tinjauan Fringe Benefits Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) 2024, yang dijalankan dari Mei hingga Ogos 2024, menunjukkan syarikat yang  melaksanakan dasar BDR adalah sebanyak 44.5 peratus, tidak melaksanakannya (42.7 peratus) dan belum mempunyai dasar tetap (12.8 peratus).

Bagaimanapun, tinjauan susulan pada April 2025 menunjukkan trend penurunan penggunaan pengaturan kerja jarak jauh dalam kalangan majikan sektor swasta. 

Hanya 47.2 peratus syarikat masih mengekalkan BDR, manakala bahagian syarikat yang tidak mengamalkan kaedah tersebut meningkat kepada 52.8 peratus berbanding 42.7 peratus dalam tinjauan sebelumnya.

Sementara itu, pekerja swasta, Muhammad Rajiesz Isnani berkata, budaya BDR memerlukan disiplin diri yang tinggi, walaupun ia menawarkan kelebihan ketara dari segi penjimatan kos serta keseimbangan kerja dan kehidupan. 

“Kita sebagai pekerja yang diberikan kelonggaran oleh majikan perlu mengekalkan disiplin tinggi untuk menghormati kepercayaan mereka dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberikan.

“Ini kerana apabila majikan memberikan fleksibiliti, ia memudahkan pekerja mengurus tugasan dengan lebih efisien dan kelebihan yang banyak,” ujarnya 

Menurutnya, penjimatan kos harian adalah kelebihan utama kerana tidak perlu berulang-alik ke pejabat, sekali gus pekerja dapat mengurangkan perbelanjaan bahan api, tol dan tambang pengangkutan awam.

“Selain itu, kos makanan turut berkurangan kerana tidak perlu membeli sarapan dan makan tengah hari di luar yang kebiasaannya lebih mahal, malah ia juga memberi lebih banyak masa untuk dihabiskan bersama keluarga serta meningkatkan kesejahteraan diri. 

“Pekerja tidak perlu tergesa-gesa bersiap ke tempat kerja dan mempunyai waktu tidur yang mencukupi. Tanpa tekanan memilih pakaian pejabat setiap hari, suasana kerja juga menjadi lebih santai,” ujarnya. 

Bagaimanapun, beliau berkata, bekerja dari rumah juga mempunyai kekurangannya, termasuk penurunan interaksi sosial serta peluang untuk terdedah kepada pengalaman dan perkembangan di luar pejabat.

“Kebanyakan masa dihabiskan di rumah, menyebabkan sesetengah individu berasa terasing daripada suasana kerja sebenar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN