Bertambest sasar pasaran Jepun dengan sijil halal 

Bertambest sasar pasaran Jepun dengan sijil halal 

MOHAMMAD Imran Mohd. Zaki Bersama produk-produk yang dikeluarkan oleh Bertambest.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bertambest Sdn. Bhd. (Bertambest) menyasarkan pasaran Jepun dengan produk sendiri melalui program Mentor Eksport pada tahun hadapan, selepas beberapa tahun menumpukan kepada perkhidmatan peralatan asal (OEM). 

Pengurus Operasi Bertambest, Mohammad Imran Mohd. Zaki berkata, Bertambest telah memperoleh sijil Halal pada 16 Julai 2021 daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). 

Jelasnya, Bertambest merancang untuk memulakan eksport ke Jepun dengan produk sendiri iaitu teh tarik kerana ia adalah minuman tradisional Malaysia dan satu daripada kebanggaan Pulau Pinang. 

“Kami percaya produk ini mempunyai potensi untuk diterima di pasaran Jepun.

“Selain itu, untuk kapasiti awal ini, saya rasa Bertambest memang sudah bersedia sepenuhnya. Dari segi aliran pengeluaran dan kelulusan lesen, semuanya dalam keadaan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Baru-baru ini, Bertambest turut berpeluang mengikuti Expo MIHAS Shanghai yang diadakan selari dengan Ekspo Import Antarabangsa China 2025 (CIIE 2025) anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Beliau berkata, pensijilan halal bukan hanya soal boleh dimakan, tetapi petunjuk kepada kualiti, kebersihan dan amalan pengeluaran yang baik. 

“Pensijilan halal bukan sekadar ‘tiket’ menjual produk, tetapi ia juga strategi jangka panjang untuk membina jenama yang dipercayai dan berkualiti.

“Dengan pensijilan halal juga pelanggan yakin bahawa makanan yang kita hasilkan bersih, sekali gus membuktikan bahawa sebagai usahawan Islam, produk kita adalah bersih dan selesa digunakan. 

“Halal bukan sekadar menilai halal haram, tetapi menonjolkan kualiti dan kepercayaan terhadap produk Islam,” katanya. 

Sehingga kini, Bertambest mempunyai lebih kurang 24 unit penyimpanan stok (SKU), merangkumi minuman pra-campur iaitu kopi, teh, koko, susu, termasuk susu kambing, minuman botani dan minuman kesihatan.

Syarikat itu juga sudah menjalankan perkhidmatan OEM dan banyak mengeksport produk-produk OEM ke luar negara seperti Singapura dan Lebanon.

Bertambest turut memiliki sebuah kilang pengeluaran di Pulau Pinang yang telah mendapat pengesahan sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP). 

Mengulas mengenai pasaran domestik,  beliau berkata, Bertambest turut menumpukan pasaran domestik di Malaysia, khususnya di kawasan utara seperti Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan sebahagian Perak. 

“Pihak kami juga telah ditawarkan oleh Speedmart, namun untuk memenuhi permintaan mereka, kapasiti pengeluaran perlu diperluas lagi. 

“Jadi, sasaran dalam tempoh tiga tahun adalah kami ingin membesarkan kapasiti penheluaran syarikat dan memasuki kedai runcit serta stesen minyak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×