Sampul mudahkan perancangan pusaka digital untuk semua

Sampul mudahkan perancangan pusaka digital untuk semua

ARHAM MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Dalam era digital hari ini, hampir semua aspek kehidupan  daripada kewangan, komunikasi hingga urus niaga  telah beralih ke alam maya. 

Namun, perancangan pusaka kekal sebagai salah satu bidang yang masih kurang diterokai secara digital.

Melihat kepada jurang itu, Sampul Sdn. Bhd. tampil memperkenalkan platform perancangan pusaka digital pertama di Malaysia, bagi memudahkan rakyat merancang, mengurus dan melindungi aset termasuk wang tunai, harta digital, kripto, e-dompet serta akaun media sosial.

Wartawan Utusan Malaysia, SABRINA ZULKIFLI berpeluang menemu bual Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sampul Sdn. Bhd., ARHAM MERICAN, bagi mengupas bagaimana teknologi digital dan pematuhan Syariah dapat menyelesaikan isu pusaka beku dan membantu keluarga Malaysia menghadapi masa sukar dengan lebih teratur

UTUSAN: Mengapa isu perancangan pusaka masih menjadi cabaran besar kepada rakyat Malaysia?

ARHAM: Masalah utama ialah kerumitan proses itu sendiri. 

Setiap tahun, jumlah wang tidak dituntut dan aset beku meningkat yang kini mencecah RM113 bilion. 

Ini menunjukkan betapa seriusnya isu pusaka yang tidak dirancang.

Apabila seseorang meninggal dunia, akaun bank akan dibekukan sehingga waris memperoleh perintah mahkamah. 

Proses ini biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan. 

Jika berlaku pertikaian keluarga, tempoh itu boleh berlanjutan sehingga bertahun-tahun.

Malangnya, hanya sekitar 20 peratus rakyat Malaysia mempunyai sebarang bentuk perancangan harta seperti wasiat, hibah atau takaful. 

Baki 80 peratus tidak mempunyai sebarang dokumen atau instrumen rasmi untuk mengurus harta mereka selepas meninggal dunia.

Di sinilah Sampul ingin memainkan peranan iaitu untuk menyelesaikan isu rumit ini dengan penyelesaian digital yang pantas, mudah dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Bagaimana platform digital seperti Sampul membantu mempercepatkan proses tuntutan harta?

Prinsip kami mudah iaitu ‘memudahkan yang kompleks’. 

Melalui platform Sampul, pengguna boleh mengakses perancangan pusaka 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Kami menawarkan produk amanah digital (trust) yang boleh memintas proses probet iaitu perintah mahkamah yang biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan. 

Dengan trust kami, harta seper­ti wang tunai, kripto atau hartanah boleh dipindah terus kepada waris dalam tempoh antara dua minggu hingga sebulan selepas kematian pemilik, tertakluk kepada dokumen yang lengkap.

Pendek kata, Sampul membantu keluarga mengelak kelewatan yang sering berlaku dalam sistem tradisional.

 

Mengapa pematuhan Syariah penting dalam perancangan pusaka digital?

Malaysia mempunyai sistem dwi-perundangan seperti sivil dan syariah yang menjadikan pengurusan pusaka lebih kompleks bagi umat Islam. 

Sebab itu, kami memastikan setiap produk Sampul menepati piawaian syariah.

Kami bekerjasama dengan Rakyat Trustee Berhad dan jawatankuasa syariah mereka yang terdiri daripada Mufti Selangor, Datuk Setia Prof. Madya Dr. Anhar Haji Opir bagi memastikan semua produk kami mematuhi kedua-dua kehendak undang-undang syariah dan sivil.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi ketenangan kepada pengguna beragama Islam, tetapi juga memastikan dokumen yang disediakan diiktiraf di kedua-dua mahkamah.

 

Bagaimana kolaborasi dengan pihak lain membantu memperkukuh perkhidmatan Sampul?

Kami bekerjasama dengan TSI Wealth Planner, syarikat perancang kewangan Islam berlesen dengan Bank Negara Malaysia bagi menawarkan produk kami sebagai produk terkawal (regulated product).

Selain itu, kami juga sebahagian daripada ekosistem Cradle, yang telah membantu kami dalam tiga perkara utama iaitu membina reputasi syarikat, membiayai pembangunan aplikasi dan memperkukuh usaha pemasaran.

Dengan sokongan Cradle, kami menjangka aplikasi Sampul akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini.

 

Apakah keunikan aplikasi Sampul yang bakal dilancarkan?

Aplikasi kami direka untuk membantu pengguna dalam dua bahagian utama.

Pertama, untuk merancang harta semasa pengguna boleh menyediakan wasiat digital, hibah amanah dan amanah harta dengan mudah.

Kedua, untuk mengurus harta selepas kematian ahli keluarga, di mana aplikasi akan memandu pengguna langkah demi langkah, daripada proses pengurusan jenazah, tuntutan khairat kematian, sijil kematian, tuntutan takaful hingga ke perintah pengagihan harta di mahkamah.

Kami mahu menjadikan proses selepas kematian lebih tersusun dan tidak membebankan keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN