KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam memperkukuh ekonomi serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara ASEAN kini berdagang lebih banyak sesama sendiri, melabur antara satu sama lain sekali gus mempertingkat integrasi merentasi pelbagai sektor.
“Bagi memperkukuh asas ekonomi, ASEAN kini meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, memperluas pelaburan antara negara anggota serta memperkukuh integrasi merentasi pelbagai sektor.
“Peningkatan ATIGA ini adalah satu langkah menentukan ke hadapan,” katanya dalam ucaptama Majlis Penyerahan Protokol Kedua bagi Pindaan ATIGA sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ persidangan pada saat penting ketika rantau ini berdepan cabaran geopolitik dan peningkatan ketidaktentuan ekonomi global.
Persidangan itu disertai pemimpin-pemimpin ASEAN serta tetamu kehormat Perdana Menteri Kanada, Mark Carney; Presiden Majlis Eropah, António Costa dan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva.
Turut hadir, Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmão, dalam Sidang Kemuncak ASEAN penuh pertamanya menandakan kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN.
Anwar berkata, keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu menuntut ASEAN untuk terus memperkukuh kerjasama serantau bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran bersama.
“Sehubungan itu, ASEAN perlu mengekalkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam berdepan cabaran ketidaktentuan serta geoekonomi global yang semakin meningkat,” katanya.
Jelas beliau, di luar kerangka ASEAN+1, negara anggota sedang mempercepat pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
“İni adalah perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia yang membabitkan hampir satu pertiga ekonomi global.
“Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Pemimpin RCEP Kelima esok, yang dijangka memberi dorongan baharu kepada pelaksanaan RCEP serta memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai hab perdagangan dan pelaburan utama dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China 3.0 akan ditandatangani pada Selasa ini.
“Melaluinya, ia akan membuka lembaran baharu dalam hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua pihak.
“Langkah ini menjadi bukti komitmen ASEAN untuk terus bergerak ke hadapan meskipun berdepan cabaran global yang kompleks,” katanya. – UTUSAN










