Yeop Food Industries sasar tembusi pasaran antarabangsa

Yeop Food Industries sasar tembusi pasaran antarabangsa

PENGASAS Yeop Food Industries Enterprise, Nora'ashah Ibrahim menunjukkan Rendang Tok Kayu Api keluaran syarikatnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berbekalkan hampir 15 tahun pengalaman dalam industri makanan, Yeop Food Industries Enterprise terus mengukuhkan kedudukannya dengan mengekalkan resepi warisan keluarga, khususnya Rendang Tok Kayu Api, sambil melangkah ke hadapan membangunkan produk baharu yang sesuai dengan cita rasa moden.

Syarikat itu kini beroperasi dengan pengiktirafan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak tahun 2024, sekali gus membuktikan setiap aspek pengeluaran memenuhi piawaian yang ditetapkan. 

Pensijilan halal itu bukan sahaja menjadi pengiktirafan kepada kualiti produk, malah menjadi kunci penting dalam mengembangkan pasaran di dalam dan luar negara.

Pengurus syarikat, Ahmad Zulhusmi Ahmad Rosly berkata, perniagaan yang bermula daripada usaha ibu bapa itu kini diteruskan oleh generasi kedua dengan matlamat memperkenalkan keunikan masakan tradisi kepada pasaran lebih luas.

“Rendang Tok Kayu Api bukan sekadar produk, tetapi warisan keluarga yang kami jaga dan kembangkan agar terus relevan di pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Menurut Zulhusmi, Yeop Food memperoleh sijil halal selepas dibimbing oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melalui geran khas yang membantu syarikat dari segi dokumentasi, proses, serta audit untuk memenuhi piawaian halal.

“Sudah hampir setahun kami menerima pengiktirafan halal Jakim. Ia sangat penting kerana membuka peluang yang lebih besar, sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan dan memberi ruang kami menembusi pasaran global.

“Selepas memperoleh sijil halal, syarikat mencatatkan peningkatan jualan yang signifikan selain meraih kepercayaan pelanggan. 

“Malah, pasaran luar negara seperti Singapura, Kemboja dan Brunei turut berjaya diteroka, dengan perancangan untuk mengembangkan lagi ke Asia Barat,” ujarnya. 

Mengulas cabaran mendapatkan sijil halal, Zulhusmi menjelaskan, penggunaan kayu api sebagai medium memasak menjadi halangan utama pada awalnya. 

Namun, dengan tunjuk ajar daripada konsultan halal, proses memasak menggunakan kawah kayu api akhirnya mendapat kelulusan Jakim.

“Bagi mengekalkan status halal, kami perlu konsisten dalam setiap aspek termasuk penjagaan kayu, kawalan suhu serta pemantauan berterusan agar kualiti dan piawaian tidak terjejas,” katanya.

Tambah beliau, halal bukan sahaja menjadi asas keyakinan pelanggan Islam, malah memberi nilai tambah kepada pelanggan bukan Islam.

“Dengan adanya sijil halal, produk kami lebih mudah diterima, dipercayai dan berdaya saing, bukan sahaja di pasaran tempatan tetapi juga global,” tambahnya.  

Yeop Food Industries kini meletakkan halal sebagai tonggak utama untuk terus berkembang, sambil mengekalkan identiti produk tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN