BUDI95 perlu lebih fleksibel, penguatkuasaan undang-undang adil

BUDI95 perlu lebih fleksibel, penguatkuasaan undang-undang adil

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKSANAAN BUDI95 mesti dilaksanakan dengan teliti, secara berperingkat dan dengan komunikasi yang jelas. 

Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia FOMCA, Nur Asyikin Aminuddin berkata, pendekatan yang lebih fleksibel seperti kuota bulanan, penga­wasan data, teknologi kese­lamatan tambahan serta penguatkuasaan undang-undang adalah lebih adil dan berkesan. 

“FOMCA berharap kerajaan memastikan pelaksanaan BUDI95 tidak menekan rakyat, sebaliknya benar-benar membantu mereka mengurus kos sara hidup.

“Secara keseluruhan, FOMCA menyokong objektif rasionalisasi subsidi petrol melalui BUDI95 kerana ia bertujuan memastikan subsidi sampai kepada rakyat Malaysia dan golongan yang benar-benar memerlukan, sekali gus mengurangkan beban kewangan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia

Nur Asyikin berkata, FOMCA percaya kawalan ketirisan lebih berkesan dilaksanakan melalui pendekatan lain seperti sistem kuota bulanan, misalnya 300 liter sebulan di bawah BUDI95. 

“Pengguna boleh mengisi pada bila-bila masa selagi dalam had tersebut, tanpa menjejaskan fleksibiliti mereka. 

“Selain itu, pemantauan data transaksi boleh digunakan untuk mengesan corak penggunaan luar biasa bagi tujuan audit dan tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka yang menyeleweng,” katanya. 

Beliau berkata, subsidi juga boleh diasingkan dengan jelas apabila kuota bulanan habis, pengguna masih boleh membeli petrol tetapi pada harga pasaran tanpa subsidi. 

“Ini lebih adil, mudah difahami dan praktikal daripada sekatan harian. Ini bermaksud pengguna juga sudah boleh mula merancang corak penggunaan petrol mereka,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Ahmad Ibrahim Azam, 27, berkata, usaha kerajaan dengan mewujudkan BUDI95 menunjukkan suara rakyat didengari. 

“Dengan cara ini, pemberian subsidi bersasar lebih kemas dan berfokus. Namun terlalu awal untuk rakyat menilai keberkesanannya. 

“Sekiranya langkah ini dilihat tidak memberikan kesan yang positif, kerajaan perlu mengambil langkah lain yang lebih bersesuaian. 

“Kerajaan perlu membuat hebahan yang lebih meluas dan lebih mendalam supaya semua lapisan masyarakat dapat memahami skim BUDI95 ini dengan baik melalui video penerangan, poster hebahan atau mungkin infografik cara-cara dan sebagainya,” katanya. 

Jelasnya, dia berharap, matlamat akhir tercapai iaitu memberi kesenangan kepada rakyat sebagai pengguna akhir. 

“Isu penggunaan kad pengenalan juga perlu diberikan perhatian yang lebih supaya rakyat rasa selamat untuk menggunakannya di stesen minyak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×