BUDI95 bantu kurang beban fiskal negara

BUDI95 bantu kurang beban fiskal negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKSANAAN petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula esok mendapat reaksi berbeza dalam kalangan rakyat di negara ini.

Tidak dapat dinafikan, ia adalah satu langkah yang membolehkan kerajaan mengawal ketirisan subsidi bahan api yang mendatangkan kerugian berbilion ringgit kepada kerajaan.

Namun, terdapat juga pihak yang mempersoalkan sejauh manakah pelaksanaan BUDI95 ini dapat membantu rakyat dan impaknya terhadap ekonomi negara.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, pelaksanaan subsidi bersasar menerusi BUDI Madani RON95 (BUDI95) merupakan langkah berani dan tepat oleh kerajaan kerana dijangka mampu mengurangkan beban fiskal negara.

“Beban fiskal akan semakin berkurang jika jumlah subsidi dikurangkan (harga dinaikkan). Perkara ini boleh dicapai untuk keseimbangan fiskal negara. 

“Apa yang pasti, permintaan minyak domestik tidak berubah banyak dan inflasi juga tidak akan berlaku. Ini kerana kuasa beli rakyat kita berada pada tahap yang sederhana (mungkin lemah) kebelakangan ini. 

“Jika peniaga menaikkan barang akibat kenaikan kos, maka barang akan tidak laku dan akhir­nya peniaga akan mengurangkan margin keuntungan sekali gus harga akan turun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan bermula 30 September ini.

Bagi bukan warganegara pula, harga RON 95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh yang sama.

BUDI95 menyasarkan subsidi kepada rakyat Malaysia secara spesifik tanpa mengira tahap pendapatan dan lokasi geografi. 

Menurut Mohd. Rizal, BUDI95 lebih praktikal dan le­bih mudah dilaksanakan kerana tidak perlu melakukan semakan dengan pengkalan data yang lebih rumit seperti pendapatan dan sebagainya.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara ini hanya permulaan dan pasti terdapat perubahan mekanisme dan harga pada masa akan datang.

“Berkemungkinan akan ada mekanisme lain yang mungkin lebih bersasar contohnya mengikut tahap pendapatan, bilangan tanggungan dan lokasi geografi.

“Saya menjangkakan harga ini akan naik dari masa ke masa manakala harga tanpa subsidi sekarang ini RM2.60 juga akan naik berdasarkan situasi ekonomi semasa,” katanya.

Tambahnya, program BUDI95 merupakan satu daripada banyak program kerajaan lain untuk membantu golongan susah seperti MyKasih dan lain-lain untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan dan ia tidak seharusnya dianggap sebagai program penyelesaian untuk orang susah.

“Saya melihat BUDI95 merupakan satu-satunya program kerajaan yang boleh dinikmati oleh T20 berbanding program-program lain.

“Had 300 liter sebulan seorang juga rasional dan realistik. Bayangkan isi rumah yang ada lima orang, mereka menikmati 1500 liter sebulan,” katanya. 

Mohd. Rizal juga tidak menolak keputusan kerajaan untuk membenarkan golongan T20 dan M40 menikmati manfaat program ini.

“Mereka juga rakyat Malaysia, malah golongan inilah yang banyak membayar cukai kepada kerajaan serta yang membelanjakan wang yang banyak di negara kita untuk meningkatkan ekonomi negara. 

“Selain itu, BUDI95 mampu memantau penggunaan petrol setiap individu. 

“Kerajaan akan mengetahui golongan mana yang menggunakan petrol banyak dan sedikit setiap bulan. Dengan data ini, barulah kerajaan mampu untuk melaksanakan program subsidi yang lebih bersasar pada masa akan datang berdasarkan parameter yang lebih baik seperti umur dan tingkat pendapatan,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkat, BUDI95 menunjukkan komitmen kerajaan yang berterusan untuk memastikan bantuan kerajaan hanya akan memanfaatkan rakyat Malaysia. 

“Selain itu, ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan kedudukan kewangan kerajaan akan terus diperkukuh dan akan menterjemahkan ruang dasar yang lebih luas dengan manfaatnya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan tunai dan juga perbelanjaan dalam sektor pendidikan, kesihatan dan infrastruktur. 

“Langkah ini sudah pasti menyumbang kepada penilaian yang positif oleh agensi penarafan kredit yang seharusnya membantu dalam meningkat nilai ringgit dan aliran masuk modal asing ke Malaysia,” katanya. 

Jelasnya, kerajaan dilihat mengambil langkah yang berhati-hati agar kesan kepada rakyat dapat diminimumkan. 

“Ini kerana penggunaan RON95 adalah begitu meluas berbanding diesel. 

“Justeru, kerajaan perlu berhati-hati dalam melaksanakan langkah seperti ini supaya objektif untuk mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan tercapai dan pada masa yang sama kenaikan kos sara hidup rakyat dapat diminimumkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN