Setia lancar cabaran AI, proptech tingkat akses pemilikan rumah

Setia lancar cabaran AI, proptech tingkat akses pemilikan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: S P Setia Bhd. (Setia) melancarkan Setia AI & Proptech Innovation Challenge bagi memacu pemilikan rumah inklusif dan meningkatkan kualiti pembinaan kediaman.

Permohonan untuk menyertai cabaran itu dibuka dari 1 hingga 31 Ogos ini melalui platform F6S.

Inisiatif utama di bawah Program Bengkel Inovasi GLC (BIG) itu menyasarkan dua agenda penting iaitu akses saksama kepada pemilikan rumah serta standard pembinaan lebih baik.

Cabaran ini menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi proptech dalam mempercepat dan mempermudah proses pembelian serta pembinaan rumah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, masa depan pemilikan dan pembinaan rumah berkait rapat dengan kuasa transformatif AI dan teknologi.

“Melalui cabaran ini, kami bukan sahaja memupuk inovasi dan kerjasama, malah memacu visi untuk menyediakan perumahan inklusif dan berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia.

“Ia langkah penting dalam komitmen kami memanfaatkan teknologi termaju bagi mengatasi cabaran dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat,”katanya dalam kenyataan.

Syarikat pemula yang terpilih akan bekerjasama dengan Setia serta mendapat akses kepada sumber, bimbingan dan pelaburan bagi merealisasikan idea mereka.

Sementara itu, Rakan Kongsi Antler dan Ketua Global Ibex, Deepak Jayaraman berkata, usaha Setia menggambarkan kepimpinan pragmatik dalam menyelesaikan isu sebenar industri melalui kolaborasi dengan syarikat pemula.

“Ia selari dengan visi Ibex yang menyokong penyelesaian berimpak nyata, kerjasama tulen dan hasil yang boleh diukur,” katanya.

Antler Ibex adalah enjin pertumbuhan menegak perkhidmatan penuh pertama di dunia, disokong oleh Antler, syarikat modal teroka peringkat awal paling aktif di dunia.

Setia turut menyasarkan peningkatan standard keselamatan, ketahanan dan kemampanan dalam industri pembinaan melalui penyepaduan teknologi AI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN