FWD, BSN tawar perlindungan kewangan

FWD, BSN tawar perlindungan kewangan serendah 20 sen sehari

KETUA Pegawai Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN), Jay Khairil Jeremy Abdullah (dua kanan) bersama Mak See Sen (dua kiri) ketika gimik pada Majlis Pelancaran Qaseh Setia di pusat beli belah MyTOWN Kuala Lumpur di sini, semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: FWD Insurance Berhad bersama rakan bancassurance jangka panjangnya, Bank Simpanan Nasional (BSN) melancarkan Qaseh Setia, sebuah pelan mikroinsurans mampu milik yang direka khas untuk memberikan sokongan kewangan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40). 

Dengan bayaran serendah 20 sen sehari, Qaseh Setia menyediakan perlindungan kewangan komprehensif merangkumi manfaat penting seperti perlindungan sehingga RM90,000 bagi kematian akibat kemalangan. 

Bagi kematian bukan akibat kemalangan dan hilang upaya kekal menyeluruh, perlindungan sehingga RM15,000 disediakan, selain bantuan sehingga RM3,000 untuk menampung kos pengebumian.

Ia direka supaya mudah dimiliki tanpa memerlukan sebarang pemeriksaan kesihatan, sekali gus memudahkan akses kepada perlindungan insurans bagi golongan B40.

Sejak prapelancarannya pada April lalu, Qaseh Setia telah melindungi lebih daripada 20,000 individu, mencerminkan permintaan yang tinggi serta keyakinan terhadap produk ini berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif FWD Insurance, Mak See Sen berkata, Qaseh Setia mencerminkan komitmen teguh pihaknya dalam memastikan insurans benar-benar boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat. 

“Ia bukan sekadar pelan mikroinsurans, tetapi satu langkah penting dalam memperkasakan komuniti yang kurang mendapat perhatian dengan menyediakan perlindungan dan keyakinan yang sewajarnya mereka miliki. 

“Ketenangan fikiran bukanlah satu kemewahan, tetapi satu keperluan yang seharusnya dapat dinikmati oleh semua,” katanya pada majlis pelancaran Qaseh Setia di sini.

Dalam pada itu, FWD Insurance turut menganjurkan acara jelajah khas bermula 21 Ogos hingga 24 Ogos 2025 di MyTown Shopping Centre, bertujuan mendekati orang ramai sambil memupuk kesedaran tentang kepentingan perancangan kewangan. 

Pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai penyelesaian kewangan seperti Qaseh Setia dan Qaseh Bakti Plus, mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma dan peluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah Proton X50 baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN