Semakan semula KNDK 4%-4.8%, sejajar perkembangan semasa

Semakan semula KNDK 4%-4.8%, sejajar perkembangan semasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semakan semula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) kepada empat peratus hingga 4.8 peratus pada 2025, sejajar dengan iklim pasaran semasa yang dijangka terkesan dengan tarif 25 peratus Amerika Syarikat (AS) bermula 1 Ogos ini.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, semakan semula ini adalah sejajar dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang telah menyemak turun pertumbuhan ekonomi Malaysia masing-masing kepada 3.9 peratus dan 4.1 peratus untuk tahun ini pada April lalu.

“Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini masih yakin bahawa Malaysia boleh mencapai pertumbuhan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus, walaupun disemak turun oleh IMF dan Bank Dunia.

“Namun begitu, BNM telah mengambil kira kesan terhadap tarif AS yang akan dilaksanakan tak lama lagi. Walaupun tarif ini bermula pada Ogos, ia akan beri kesan untuk terhadap eksport negara hingga hujung tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Barjoyai berkata, semakan semula tersebut dibuat atas dasar faktor luaran terutamanya tarif AS serta kesan daripada perang Iran antara Isreal yang boleh memberi gangguan pada laluan perdagangan di Selar Hormuz. 

Terdahulu, BNM menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada empat peratus hingga 4.8 peratus pada 2025, berbanding unjuran sebelumnya antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

Bank pusat berkata, unjuran pertumbuhan terkini mengambil kira senario tarif yang pelbagai, merangkumi senario kemungkinan kenaikan tarif yang berterusan serta hasil rundingan perdagangan yang lebih menggalakkan. 

“Unjuran ini terus bergantung pada ketidakpastian dalam ekonomi global iaitu sama ada pertumbuhan menjadi perlahan atau menjadi pesat. 

“Hasil rundingan perdagangan yang menggalakkan, dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju, permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik serta aktiviti pelancongan yang giat boleh meningkatkan prospek eksport dan pertumbuhan Malaysia,” ujarnya.

Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun menghadapi ketidakpastian global. 

Katanya, sebahagiannya adalah disebabkan oleh pembaharuan struktur yang telah dilaksanakan sejak sekian lama. 

“Kegiatan ekonomi yang terus kukuh serta inflasi yang sederhana menyediakan persekitaran yang menyokong bagi meneruskan pembaharuan struktur untuk membentuk Malaysia yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing pada masa hadapan,” ujarnya.

Semakan semula itu dibuat tatkala Malaysia masih dalam rundingan tarif timbal balas dengan AS yang menghampiri tarikh berkuat kuasa pada Jumaat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×