Fleksibiliti dalam masa berkerja tarikan utama Generasi Z

Fleksibiliti dalam masa berkerja tarikan utama Generasi Z

GOLONGAN muda lebih cenderung memilih majikan yang menawarkan waktu kerja anjal, peluang bekerja dari rumah serta budaya kerja yang terbuka.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FLEKSIBILITI dalam masa bekerja kini menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan Generasi Z (Gen Z) dalam memilih kerjaya, sejajar dengan perubahan landskap pekerjaan pasca pandemik serta keutamaan terhadap keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya.

Golongan muda lebih cenderung memilih majikan yang menawarkan waktu kerja anjal, peluang bekerja dari rumah serta budaya kerja yang terbuka, berbanding struktur kerja konvensional yang bersifat kaku dan berorientasikan pejabat sepenuhnya.

Trend tersebut turut mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan Gen Z terhadap kepentingan kesihatan mental dan produktiviti jangka panjang. 

Mereka tidak lagi melihat kerja sebagai sekadar punca pendapatan, sebaliknya sebagai sebahagian daripada gaya hidup yang perlu selari dengan nilai peribadi dan aspirasi kendiri.

Pekerja sambilan, Nur Hidayah Khairul Muzil berkata, sistem aturan kerja fleksibel (FWA) membolehkan seseorang mengurus masa secara lebih seimbang antara tugasan dan kehidupan seharian.

“Sistem ini membantu menentukan gaya hidup yang selari dengan tahap kesihatan mental dan fizikal. Malah, ia turut membuka ruang untuk mencari pendapatan sampingan kerana masa dapat diatur sendiri.

“Fleksibiliti turut mempengaruhi tahap motivasi serta mood ketika bekerja. Apabila minda berada dalam keadaan baik dan motivasi tinggi, kita akan lebih bersemangat menyelesaikan tugasan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, budaya kerja fleksibel kini sudah mula diterapkan oleh sebahagian majikan di negara ini, terutama dalam bidang tertentu seperti kandungan digital.

“Sebagai contoh, pencipta kandungan (content creator) diberi kebebasan untuk berkarya namun dalam masa sama perlu menjaga batas moral dan etika kerja.

“Justeru, sistem ini perlu disokong dengan garis panduan jelas serta pemantauan yang seimbang agar tidak menjejaskan hak pekerja mahupun kepentingan majikan. 

“Fleksibiliti dalam bekerja seharusnya menjadi nilai tambah, bukan alasan untuk mengelak tanggungjawab,” ujarnya.

Sementara itu, pekerja swasta, Muhammad Nur Aiman Mohd. Rasid pula berpendapat, kelebihan utama sistem kerja fleksibel membolehkan pekerja menyesuaikan waktu bekerja mengikut tahap produktiviti sendiri, berbanding terikat dengan waktu pejabat yang tidak semestinya sesuai untuk semua. 

“Bagi Gen Z, perkara ini amat penting kerana kami lebih menitikberatkan kesihatan mental serta masa bersama keluarga dan rakan.

“Kebebasan mengurus jadual harian memberi ruang untuk merancang tugasan secara optimum, di samping mengejar minat, meningkatkan kemahiran serta menjaga kesejahteraan diri.

“Dari segi produktiviti, saya lebih fokus dan kurang tekanan apabila bekerja dalam persekitaran serta masa yang saya tentukan sendiri. Hasil kerja juga menjadi lebih berkualiti,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, gaya kerja hibrid dan kerja jarak jauh dijangka menjadi norma dalam jangka panjang, terutamanya dalam sektor digital dan kreatif.

“Namun begitu, tahap fleksibiliti tetap bergantung kepada jenis industri dan keperluan operasi syarikat. 

“Apa yang pasti, semakin banyak majikan kini mula menyedari manfaat kerja fleksibel dan sedang berusaha menyesuaikannya secara berperingkat,” katanya.

Tambahnya, organisasi yang mengutamakan kesejahteraan pekerja, menyediakan sokongan psikososial serta membina persekitaran kerja yang inklusif, dilihat lebih berdaya saing dalam menarik dan mengekalkan bakat muda.

“Selain itu, kemajuan teknologi turut mempercepatkan anjakan paradigma ini, dengan kebergantungan kepada alat kolaboratif digital yang membolehkan komunikasi dan penyelarasan kerja secara efisien tanpa kehadiran fizikal. 

“Ini secara tidak langsung mendorong majikan untuk merombak dasar sumber manusia tradisional, termasuk pelaksanaan model kerja hibrid dan pengukuran prestasi berasaskan hasil, bukan masa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN