PETALING JAYA: MKH Oil Palm (East Kalimantan) Berhad (MKHOP) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 19.9 peratus kepada RM19.2 juta bagi suku kedua berakhir 31 Mac 2025, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pendapatan turut meningkat sebanyak 11.8 peratus kepada RM96.2 juta bagi tempoh tersebut.
Menurut kenyataan, peningkatan prestasi itu didorong harga purata jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi, serta permulaan jualan minyak isirung sawit mentah (CPKO) pada Februari 2025.
Syarikat turut mengumumkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 2 sen sesaham bagi suku ini, yang akan dibayar pada 25 Jun 2025 kepada para pemegang saham yang tersenarai dalam rekod pendeposit syarikat pada 12 Jun 2025.
“МКНОР mempunyai dasar pengagihan 50 peratus daripada keuntungan bersihnya sebagai dividen, dengan mengambil kira keperluan modal kerja kumpulan.
“Pada tahun kewangan 2024, MKHOP telah mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 4 sen sesaham, bersamaan hasil dividen kira-kira 6.3 peratus berdasarkan harga saham semasa MKHOP iaitu 63 sen.
“Bagi tempoh enam bulan pertama, keuntungan bersih MKHOP meningkat sebanyak 88.7 peratus kepada RM51.2 juta berbanding separuh pertama 2024, manakala pendapatan juga meningkat sebanyak 18.1 peratus kepada RM198.8 juta bagi tempoh yang sama.
“Keputusan enam bulan ini kini merangkumi 79.7 peratus daripada keputusan tahun penuh MKHOP bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024, manakala bagi konteks, MKHOP mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM64.2 juta dalam 2024,” katanya.
Bagi suku kedua, harga purata MSM setiap tan selepas ditolak duti eksport dan levi di Indonesia adalah RM3,997, manakala harga purata PK setiap tan adalah RM3,043.
MKHOP turut mencatatkan jumlah pengeluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak 92,829 seta sepanjang tempoh ini.
Pengerusi MKHOP, Tan Seri Datuk Alex Chen Kool Chiew @ Cheng Ngi Chong berkata, prospek MKHOP kelihatan positif berdasarkan kemajuan dan perkembangan semasa.
“Prospek kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025 terus disokong oleh permintaan pasaran terhadap MSM, yang didagangkan pada sekitar RM3,600 hingga RM3,800 satu tan metrik (selepas tolak duti eksport dan levi) di Indonesia.
“Kumpulan terus melaksanakan langkah proaktif dalam operasinya, termasuk menambah baik sistem pengurusan air dan memaksimumkan kutipan serta kualiti hasil melalui usaha mekanisasi yang berterusan.
“Berdasarkan faktor-faktor ini, Lembaga Pengarah MKHOP menjangkakan kumpulan akan mencapai keputusan yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025,” katanya.-UTUSAN










