KUALA LUMPUR: Payments Network Malaysia (PayNet) melancarkan fasa baharu Program Akar, sebuah inisiatif pembangunan bakat kebangsaan yang kini berfokuskan kepada kecerdasan buatan (AI) dan sains data.
Langkah ini bertujuan untuk memperkukuh persediaan industri perkhidmatan kewangan Malaysia menghadapi cabaran masa hadapan melalui pembangunan tenaga kerja yang celik digital dan bersedia untuk industri.
Program ini menekankan latihan praktikal, pembangunan kepimpinan, pendedahan dunia sebenar untuk pelajar universiti dalam bidang pembayaran digital, AI dan perkhidmatan kewangan.
Kohort pertama program ini akan melibatkan 100 pelajar, bermula dengan 25 pelajar dari Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan dijangka berkembang kepada 75 pelajar dari pelbagai universiti tempatan menjelang akhir tahun.
Inisiatif ini memperlihatkan komitmen PayNet dalam membentuk ekosistem bakat masa depan yang menyokong transformasi digital sektor kewangan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berkata, PayNet melihat pembangunan bakat sebagai usaha pembangunan negara.
“Program Akar bukan sekadar persiapan pelajar untuk pekerjaan. Ia mengenai usaha membentuk mereka untuk menerajui ekonomi digital Malaysia dengan matlamat yang jelas.
“Dengan melengkapi belia kita dengan kemahiran digital yang relevan dan menghubungkan mereka dengan peluang industri yang bermakna, kami mengukuhkan ekosistem kewangan negara serta membina daya tahan ekonomi jangka panjang,” katanya dalam pelancaran fasa kedua Program Akar di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan, Microsoft Malaysia, Lauren Si berkata, AI sedang mengubah setiap peranan dalam setiap industri, termasuk perkhidmatan kewangan.
“Melalui kerjasama dengan PayNet melalui Program Akar, kami membantu membina generasi bakat yang dilengkapi dengan kemahiran digital dan AI untuk berjaya, sejajar dengan inisiatif AI ForMYFuture oleh Microsoft.
“Di Microsoft, kami komited untuk memperkasakan pelajar dengan keupayaan yang diperlukan untuk berkembang dalam ekonomi AI Malaysia yang semakin berkembang,” katanya.
Program Akar adalah sebahagian daripada komitmen lebih luas PayNet untuk membentuk Malaysia menjadi lebih sedia masa hadapan.
Lebih daripada sekadar program latihan, ia adalah usaha menyeluruh untuk membangunkan bakat muda dengan kemahiran, minda dan nilai yang diperlukan untuk memimpin secara bertanggungjawab dalam dunia yang sentiasa berubah.-UTUSAN










