SERDANG: Farm Fresh Bhd. menyasarkan untuk terus memperoleh penguasaan dalam pasaran minuman malt coklat.
Ketua Pegawai Operasinya, Azmi Zainal berkata, Farm Fresh telah melancarkan produk serbuk malt coklat pada Julai lalu dan mempunyai rancangan untuk memperkenalkan produk sedia untuk diminum pada 2025.
“Strategi Farm Fresh untuk mempelbagaikan tawarannya dalam pasaran produk tenusu dengan memanfaatkan kekuatan jenama dan pilihan nilai lebih sihat akan membuahkan hasil sekali lagi.
“Pelancaran besar sebelum ini, Yarra by Farm Fresh dan Farm Fresh Grow pada akhir 2022 untuk menembusi pasaran suhu ultra tinggi (UHT) dan susu tumbesaran berjaya melonjak pantas pendapatan syarikat dalam beberapa tahun ini.
“Pada tahun ini, mentega dan susu kultur juga akan diperkenalkan oleh Farm Fresh yang akan dikeluarkan oleh kilang kami di Taiping, Perak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Azmi berkata, Farm Fresh, Universiti Putra Malaysia (UPM) akan terus dikekalkan sebagai pusat edu-tourism (pelancongan pendidikan) bagi memberi peluang orang awam melihat sendiri ladang tersebut.
“Bukan sahaja mereka (orang awam) melawat lembu, di UPM Farm Fresh kami juga menyediakan pembelajaran kepada pelawat,” katanya.
Dari segi sambutan, Azmi menjelaskan, rakyat Malaysia setakat ini memberi sokongan dan sambutan yang baik.
“Ramai pelanggan tetap yang sentiasa membeli susu kami kerana rasa yang lain dari jenama lain, kerana quality bahan yang kami guna.
“Kami juga baru saja menang platinum untuk kali keempat berturut-turut di Putra Brand Awards, maksudnya, rakyat Malaysia telah memilih kami sebagai jenama tenusu pilihan nombor satu,” katanya.
Setakat ini, Farm Fresh mempunyai 1,200 ejen di seluruh negara yang aktif menjual produk dan mampu menjana mencecah RM111 juta.
Dalam pada itu, Azmi memaklumkan, pihak Farm Fresh bakal mengembangkan perniagaannya di Indonesia pada suku kedua 2025.
“Lokasi tersebut dipilih kerana Indonesia antara negara dalam ASEAN yang meluas dalam produk tenusu,” katanya.
Sehingga kini, Farm Fresh mempunyai lima buah ladang di Malaysia dan dua di Australia selain tiga kilang pemprosesan di Malaysia, serta masing-masing satu di Australia dan Filipina.-UTUSAN










